Oleh FAIZAL NAZARUDDIN
SHAH ALAM, 1 DIS: Mangsa banjir kembali meningkat di dua negeri dengan 510 orang daripada 145 keluarga di lima pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi tadi.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi Facebook memaklumkan mangsa banjir di Selangor membabitkan 195 orang manakala Perak (315).
Tiga daerah di kedua-dua negeri itu masih terkesan banjir dengan tiga PPS dibuka di Selangor manakala Perak (dua).
Semalam, seramai 402 orang daripada 116 keluarga di Selangor dan Perak masih berlindung di empat PPS setakat jam 4 petang.
Sementara itu dua sungai di Selangor melebihi paras bahaya iaitu Sungai Bernam, Hulu Selangor dan Sungai Langat, Kuala Langat.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan ribut petir dan hujan di beberapa tempat di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Johor bermula petang hingga malam ini.