AGENDANASIONAL

Polis siasat video Jalur Gemilang dikibar bersama bendera Israel

SHAH ALAM, 1 DIS: Polis menyiasat penyebaran klip video memaparkan sekumpulan individu menyanyikan lagu Negaraku dengan bendera Malaysia dikibarkan bersama bendera Israel.

Menurut timbalan ketua polis daerah Petaling Jaya, siasatan dibuat selepas menerima laporan jam 11.20 malam kelmarin, susulan ia tersebar di media sosial, lapor Berita Harian.

Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata pengadu memaklumkan melihat klip video berdurasi 47 saat itu dalam kumpulan WhatsApp sebelum membuat laporan polis.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada September lalu, ketika sekumpulan warga tempatan mengadakan lawatan ke Tasik Galilee yang terletak dalam kawasan jajahan Israel.

“Lawatan dibuat menerusi Ziarah Kembara dikendalikan sebuah agensi pelancongan tempatan dan ketika lawatan, lagu Negaraku dipasang dan dinyanyikan serta bendera Malaysia dikibarkan,” katanya.

Ku Mashariman turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan bahan berkaitan kejadian itu menerusi mana-mana platform.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

 


Pengarang :