Peruntukan tambahan uja risiko tiris, pembaziran

azrul_bimbSHAH ALAM, 24 SEPT: Institut Rakyat (IR) mempersoalkan peruntukan tambahan yang tinggi kepada kementerian-kementerian seperti yang diumum dalam pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan semalam.

Pengarah Eksekutif IR, Azrul Azwar berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sahaja menerima sehingga RM126,665,400 peruntukan tambahan.

Menurut beliau, pembayaran ‘one-off’ seperti peruntukan tambahan ini selain mengundang risiko ketirisan, ia juga mengundang pembaziran seperti yang kerap dilaporkan media sebelum ini.

IR juga mempersoalkan pembayaran seperti ini memanfaatkan rakyat atau golongan tertentu.

“Ini agak janggal dan membimbangkan sebab kalau kita tengok, terlalu banyak ‘one-off’ tetapi siapa yang mendapat manfaatnya?” soal beliau.

Menurut Azrul lagi, perkembangan ini semakin membimbangkan kerana menunjukkan kegagalan kerajaan mengurus perbelanjaan dengan cekap.

“Pada 2012, kerajaan gagal mencapai sasaran 4.5 peratus nisbah defisit kepada KDNK. Sebaliknya, ia meningkat kepada 4.9 peratus selepas mengambil kira semua bil-bil tambahan berjumlah RM28.5 bilion iaitu RM28 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM500 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

“Perbelanjaan tambahan 2013 ini mungkin menyebabkan nisbah hutang kepada KDNK awam melepasi had 55 peratus daripada 45 peratus pada Julai 2009 dan 40 peratus pada April 2008 dan menjelang akhir tahun ini akan mencecah 53.3 peratus pada akhir 2012, satu rekod baru antara yang tertinggi di Asia Tenggara,” ujar Azrul lagi.


Pengarang :