Exco: Kes culik meningkat, pantau pergerakan anak-anak

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 JUN : Ibu bapa disaran supaya lebih peka melakukan pemantauan lebih terhadap pergerakan anak-anak bagi membendung berlakunya kes culik.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata ibu bapa juga perlu memastikan persekitaran anak-anak berada dalam keadaan selamat tanpa kehadiran individu mencurigakan.

YB Daroyah“Ibu bapa perlu memberi perhatian lebih dengan memastikan penjagaan dan aspek keselamatan anak-anak menjadi keutamaan setiap masa.

“Lebih penting juga, anak-anak perlu sentiasa berada di bawah kawalan dan pemerhatian ibu bapa kerana sedikit kealpaan kita, pelbagai perkara buruk boleh berlaku kepada anak-anak.

“Keadaan ini khususnya boleh berlaku di persekitaran luar rumah contohnya di pusat beli-belah kerana banyak perkara buruk tidak dijangka boleh berlaku dan menimpa anak-anak,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau mengulas kebimbangan peningkatan kes culik kanak-kanak di Selangor yang mencatatkan peningkatan paling tinggi dengan 285 kes sejak awal Januari hingga Mei lalu.

Daripada jumlah itu, kebanyakan kanak-kanak hilang dilaporkan berumur antara lingkungan 12 tahun hingga 18 tahun setiap tahun.

Statistik pula menunjukkan kanak-kanak Melayu mencatatkan jumlah tertinggi dengan 6,713 kes, atau melebihi 60 peratus diikuti lain-lain (1,378), India (1,059) dan Cina (641) di seluruh negara bagi tahun 2015.

Mengulas lanjut kata Daroyah, beliau tidak menolak kemungkinan peningkatan kes di Selangor berlaku ekoran kelalaian ibu bapa dalam melakukan pemantauan ke atas anak-anak.

“Kes penculikan melibatkan kanak-kanak ini sangat menggerunkan dan tentunya kita tidak mahu kes ini terus berlaku di Selangor dan di Malaysia sekali pun.

“Atas faktor inilah memerlukan setiap ibu bapa itu lebih prihatin akan pergerakan anak-anak sama ada di rumah atau pun di sekolah,” katanya.

-nR-


Pengarang :