Kios air suling perlu ada akaun

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 JUN: Operator kios air tidak lagi dibenarkan menyambung kios ke bekalan atau akaun air premis sedia ada, sebaliknya perlu memohon akaun baru dan memasang meter individu berasingan untuk setiap kios air suling.

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah, berkata larangan itu tertakluk di bawah Peraturan-peraturan Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi dan Pemasangan Paip) 2014, Peraturan 98.

Amin Lin Abdullah“SYABAS menyeru pada semua operator kios air suling supaya memohon akaun bekalan air baru untuk mengelakkan sebarang kesulitan ekoran dari tindakan penguatkuasaan peraturan itu. Permohonan akaun bekalan air sudah dimudahkan dan lebih cepat.

“Operator kios air suling boleh memohon akaun bekalan air dengan mudah melalui ‘Portal Talian Terus Khidmat Pelanggan’ (www.syabas.com.my),” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Amin berkata pemohon hanya perlu melengkapkan borang dan menghantar secara atas talian disusuli penghantaran melalui pos dua salinan ‘Surat Perjanjian Bekalan Air’ asal dan ‘Surat Kebenaran dan Aku Janji'(jika perlu) kepada Jabatan Perkhidmatan Perhubungan Pelanggan SYABAS.

Katanya, penguatkuasaan itu selaras Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Deposit, Fi dan Caj Perkhidmatan Air) 2014 dan operator yang gagal mematuhi Peraturan 98 Kios Air dianggap melakukan kesalahan di bawah Seksyen 89 (2) (e) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

“Jika operator kios air suling gagal memohon akaun bekalan air dan memasang meter individu berasingan untuk setiap kios air suling, SYABAS tiada pilihan lain selain daripada memotong bekalan air itu.

“Kita juga akan mengambil tindakan ke atas operator kios air suling dan/atau penghuni premis bagi kesalahan di bawah Seksyen 89 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006,” katanya.

-AA-


Pengarang :