Noorkhiriah tumpu ibadah dan perniagaan

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 10 JUN: Mungkin ramai yang masih mengingati watak Bedah – seorang usahawan wanita yang mengendalikan perniagaan gas di sebuah kampung dalam drama ‘Bedah Tong Gas’ di kaca televisyen sedikit masa dahulu.

Namun, siapa sangka ‘Bedah’ dengan gelagat ala ‘tomboi’ dan mencuit hati penonton itu realitinya kini bergelar usahawan menjual pakaian wanita dan lain-lain.

Pelakon Noorkhiriah Ahmad Shapie yang memilih untuk berhijab sejak beberapa tahun lalu mengusahakan perniagaannya di sebuah mini butik di Tesco Mutiara Damansara, di sini sejak awal tahun lalu.

khiriah“Sudah setahun saya menjalankan perniagaan di Tesco Mutiara Damansara dan puasa kali ini saya tidak melepaskan peluang membuka booth di Busana Mara Mall, Kuala Lumpur,” katanya kepada Selangorkini.

Katanya, beliau bersyukur apabila kain tudung dan jubah jenama Nur By Khiriah keluarannya semakin diterima dan dikenali dalam pasaran tempatan.

“Walaupun persaingan sengit dengan pelbagai jenama besar yang ada di pasaran tetapi apabila kita bersaing secara sihat, ada rezeki untuk orang yang berusaha,” katanya.

Pada masa sama, Noorkhiriah berkata walaupun sibuk menumpukan tugasnya sebagai ahli perniagaan, namun beliau tetap memastikan amal ibadah dapat ditingkatkan pada Ramadan kali ini.

“Pada puasa kali ini, semua kegiatan seni dihentikan supaya saya dapat tumpukan dengan amal ibadah, keluarga dan perniagaan,” katanya.

Noorkhiriah sudah membintangi lapan buah filem dan sekurang-kurangnya 18 drama dan siri televisyen sejak melibatkan diri dalam industri seni pada 1999.

-AA-


Pengarang :