Sultan Sharafuddin rasmi Masjid Darul Ibadah RM5.39 juta

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 10 JUN: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Masjid Darul Ibadah di Kampung Harmoni, Bestari Jaya yang siap sepenuhnya pada 5 Mei 2014, semalam.

Baginda semasa merasmikan masjid bernilai RM5.39 juta itu turut berkenan mengekalkan namanya sebagai Masjid Darul Ibadah yang digunakan penduduk di situ sebelum ini.

DYMM Sultan dan MB Berbuka puasa di Masjid Darul Ibadah Bestari Jaya 2“Beta turut berkenan mengekalkan nama asal masjid ini sebagai Masjid Darul Ibadah,” titah baginda pada Majlis Perasmian Masjid di Kampung Harmoni, Bestari Jaya, Kuala Selangor sempena Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Tahun 1437H/2016M, di sini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim, dalam sembah ucapannya berkata masjid terbabit dibina selepas mendapati Masjid Darul Ibadah yang lama tidak lagi mampu menampung pertambahan kariah di kawasan itu.

“Ekoran pertumbuhan penduduk pesat dan bagi mengatasi masalah kesesakan jemaah di Masjid Kampung Harmoni, JAIS memilih sebidang tanah seluas 3.5 ekar di Lot 2489, Jalan Makmur sebagai tapak pembinaan masjid baru.

Katanya, masjid itu mampu memuatkan 1,000 jemaah pada satu masa dengan pelbagai kemudahan bagi keselesaan umat Islam beribadah.

SULTAN 1Haris berkata, antara kemudahan disediakan adalah ruang solat utama, ruang kuliah muslimat, tempat sembelihan korban, tempat wuduk dan tandas lelaki dan wanita.

“Apa yang diharapkan supaya nazir dan ahli jawatankuasa masjid dapat memainkan peranan lebih proaktif, progresif dan efektif dalam menggerakkan aktiviti mengimarahkan masjid,” katanya.

Pada masa sama, Haris berkata 13 masjid kariah, tiga masjid Diraja dan tiga masjid institusi dipilih sebagai lokasi Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat tahun ini dengan anggaran perbelanjaan RM1.06 juta.

“Pemilihan lokasi Majlis Berbuka Puasa atau Ihya Ramadan ini berbeza pada setiap tahun bagi memastikan masjid yang berada di negeri itu diberi peluang sebagai tuan rumah,” katanya.

-AA-


Pengarang :