MB beri penghormatan terakhir kepada Allahyarham Dollah Kok Lanas

OLEH: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali hadir ke kediaman mantan Ketua Pengarang kumpulan New Straits Times Press, Allahyarham Tan Sri Abdullah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Dollah Kok Lanas bagi memberi penghormatan terakhir beliau.

Mohamed Azmin yang tiba kira-kira jam 11.10 malam tadi turut bertemu dengan isteri Allahyarham, Puan Sri Fauzah Mohamed Derus bagi menyampaikan ucapan takziah sebelum menyertai bacaan tahlil bersama tetamu lain.

20160612_230657Mohamed Azmin berkata, pemergian beliau merupakan satu kehilangan seorang tokoh negarawan dan pejuang yang banyak penyumbangkan khidmat dan bakti kepada negara.

“Bagi pihak Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan Kerajaan Selangor, kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Abdullah Ahmad dan kami mendoakan Allahyarham mendapat khusnul khatimah iaitu pengakhiran baik dan ditempatkan di dalam syurga penuh nikmat Allah.

“Bagaimanapun saya sempat bertemu dengan isteri Allahyarmah, Puan Sri Fauzah dan mendokan agar keluarga beliau sabar dan tabah dalam menghadapi ujian Allah ini dan Insha Allah kita meneruskan usaha baik ini,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini di kediaman Allahyarham di Taman U-Thant di sini, malam tadi.

Tan_Sri_Abdullah.transformedSelain Mohamed Azmin, turut sama hadir memberi penghormatan terakhir, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin; Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan mantan Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Allahyarham yang meninggal pada usia 79 tahun di sebuah hospital swasta di sini akibat kanser juga pernah bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak.

SelangorKini difahamkan, Allahyarham diterbangkan ke kampung halamannya dengan menggunakan penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia ke kampung halamannya di Kok Lanas, Kelantan awal pagi ini.

EZY


Pengarang :