FOMCA: Pertimbang keputusan naik tol, elak beban pengguna

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 JUN: Kerajaan Persekutuan perlu mempertimbangkan kadar kenaikan tol bagi lapan syarikat konsesi dijangka bakal berlaku bagi memastikan tidak membebankan pengguna.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata hal itu kerana dalam keadaan ekonomi ketika ini, tidak wajar sekiranya syarikat konsesi menaikkan kadar tol pada kadar tinggi.

TOL LEBUHRAYA“Perjanjian konsesi lapan konsesi ini sudah tiba disemak dan akan berlaku kenaikan tol. Jika tidak, kerajaan perlu membayar pampasan yang agak tinggi sedangkan ekonomi ketika ini tidak stabil lebih lagi banyak projek pembangunan tertangguh.

“Namun, walaupun kerajaan tidak mahu dibebankan dengan nilai pampasan itu, seharusnya mereka memastikan kadar kenaikan itu nanti tidak membebankan pengguna,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Yusof memberikan contoh Lebuhraya Utara-Selatan yang mempunyai banyak rangkaian menyebabkan berlakunya kenaikan drastik kepada pengguna.

“Lebuh raya merupakan keperluan kepada pengguna lebih lagi penduduk Lembah Klang. Jika perkara ini tidak ditangani sudah tentu akan berikan kesan ekonomi drastik kepada pengguna dan harga barang sudah tentu meningkat naik,” katanya.

FOMCAPada masa sama, Yusof menyarankan syarikat konsesi memperluaskan pembayaran tol elektronik dan memberikan rebat lebih kepada pengguna.

“Syarikat konsesi juga perlu memberikan rebat lebih lagi kepada pengguna lebuh raya setiap hari. Ini dapat mengurangkan sedikit sebanyak kos kenaikan tol,” katanya.

Akhbar The Sun sebelum ini melaporkan tahun ini, kerajaan dikatakan bakal membuat keputusan untuk menaikkan kadar tol bagi lapan lagi syarikat konsesi.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jika ingin mengekalkan kadar tol yang sama pada harga kini, kerajaan perlu membayar pampasan kepada pihak konsesi dalam jumlah yang sangat besar dan ini membebankan kerajaan dalam hutang jangka masa panjang.

Beliau menambah, kerajaan akan berhadapan dengan kesukaran untuk membuat keputusan berhubung perkara ini dan akan menangung kos sebanyak RM539 juta.

Fadillah berkata syarikat konsesi yang dibenarkan untuk menaikkan kadar tol di lapan buah lebuhraya iaitu Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Hubungan Kedua (Linkedua), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB)

Tahun lalu, sejumlah 18 buah lebuhraya di seluruh Malaysia terlibat dengan kenaikan tol, dalam tarikh yang sama iaitu 15 Oktober. Ini termasuklah AKLEH, Besraya, DUKE, Grand Saga, Lebuhraya Guthrie, Kajang SILK, Karak, LATAR, LEKAS, LKSA, MEX, NPE, terowong SMART, Lebuhraya Senai-Desaru, SKVE, Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Sprint dan LDP.

EZY


Pengarang :