MB: Penjawat awam bakal dapat bonus Aidilfitri

OLEH: HAFIZAN TAIB

SUNGAI BESAR, 15 JUN: Penjawat awam di Selangor bakal menerima imbuhan bonus sempena Aidilfitri tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri memberikan imbuhan istimewa itu sebagai menghargai khidmat dan sumbangan mereka.

Azmin RakyatBerikutan itu, katanya, dengan komitmen tinggi golongan itu, Kerajaan Negeri meraih kejayaan menerusi peningkatan rezab negeri mencapai RM4.1 bilion.

“Maka saya kira dengan rezab yang besar sampai masanya kita memberikan bonus kepada pegawai dan anggota Kerajaan Negeri dalam terdekat ini sebagai menghargai khidmat dan sumbangan mereka.

“Berapa jumlah? Tunggu dalam beberapa hari yang akan datang,” katanya dalam Majlis Iftar bersama Dato’ Menteri Besar di Kampung Hala Cara Baru, Sungai Panjang, malam tadi.

Beliau berkata, pencapaian itu diraih ekoran pentadbiran Kerajaan Negeri ditadbir dengan telus, bebas rasuah serta tidak menyalahgunakan kuasa.

Pada tahun lalu, Kerajaan Negeri memberikan bonus sebulan gaji kepada penjawat awam negeri sempena Aidilfitri.

EZY


Pengarang :