KEADILAN perjuang agenda reformasi dalam Deklarasi Rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

SUNGAI BESAR, 15 JUN: Agenda reformasi diilhamkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi teras utama perjuangan parti itu ke arah merubah sistem pentadbiran dan politik di negara ini.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia adalah pendekatan sama seperti Deklarasi Rakyat diperjuangkan ketika ini dan tidak berlaku percanggahan pendapat dalam kalangan pemimpin parti itu.

“Saya kira tiada percanggahan pendapat antara pemimpin di dalam parti berkenaannya.

mb-markshort kemensah“Sebagai Ketua Umum, beliau memberi kenyataan dan pandangan kepada parti dari semasa ke semasa dan kita menghormatinya.

“Maka sewajarnya ia menjadi garis panduan bagi memastikan fokus agenda reformasi berterusan,” katanya kepada media di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata demikian susulan dakwaan timbul perbezaan pendapat antara sebahagian pemimpin dalam KEADILAN yang menyokong Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi Deklarasi Rakyat serta sebaliknya.

Apa yang penting, katanya, Deklarasi Rakyat digerakkan itu memberi fokus agenda reformasi selama ini diperjuangkan KEADILAN.

“Kita bersetuju (dengan Deklarasi Rakyat) supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mesti diturunkan kerana kerosakan yang berlaku dalam sistem ekonomi dan politik serta institusi demokrasi runtuh di bawah pentadbiran beliau.

“Tetapi kita harus ingat teras perjuangan KEADILAN dan parti dalam Pakatan Harapan (PAKATAN) adalah membawa reformasi. Itu yang ditekankan Anwar,” katanya.

Mengulas lanjut, Menteri Besar Selangor itu berkata, Anwar tetap kekal sebagai pemimpin utama parti.

“Ya. Beliau memainkan peranan sangat penting dalam memastikan parti bergerak mengikut prinsip ditetapkan,” katanya.

-AA-


Pengarang :