Piala Malaysia: PKNS fokus temu JDT

OLEH: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 JUN: PKNS F.C memperkemaskan pasukan dengan perlawanan persahabatan sebelum sepak mula Piala Malaysia dan baki perlawanan pusingan kedua Liga Perdana nanti.

Pengurus PKNS F.C, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, berkata pasukannya akan bertemu Felcra F.C, Kedah dan Sarawak dalam perlawanan persahabatan yang dijangka dimulakan pada minggu hadapan.

mahfizul“Ini antara persiapan yang kami atur sebelum Piala Malaysia bermula,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Pada masa sama, Mahfizul berkata, antara perlawanan menjadi tumpuan pasukan Lembah Klang itu adalah perlawanan pertama menentang pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 12 Julai di Stadium Larkin nanti.

“Fokus tetap sama kerana yang menanti kita lebih kurang 16 perlawanan iaitu Liga Perdana dan Piala Malaysia dengan perlawanan pertama bertemu JDT di Larkin.

“Semua pihak memang fokus pada game itu nanti,” katanya.

PKNS FCKetika mengulas latihan sepanjang Ramadan, Mahfizul berkata pemainnya sudah memulakan latihan sejak 10.00 malam tadi bagi memberi laluan kepada pemain mengerjakan Solat Terawih terlebih dahulu.

“Mereka berbuka puasa di rumah masing-masing dan selepas Terawih barulah mereka datang untuk sesi latihan. Tahun ini lebih rehat sedikit berbanding tahun lepas di mana liga diteruskan dalam bulan puasa,” katanya.

-nR-


Pengarang :