Kerjasama Kerajaan Negeri jayakan pengurusan hartanah wakaf

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 JUN: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) berharap dapat menjalin kerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi menjayakan pelaksanaan pengurusan hartanah wakaf di Selangor.

Pengerusinya, Datuk Ramli Mahmud, berkata kerjasama itu dialu-alukan untuk memastikan perancangan PWS berjalan lancar dan tersusun.

CP2A1398-800x533“Dalam sesi pendengaran tadi kita lihat amat positif dengan Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negeri (PAC) akan mempertimbangkan kepada Kerajaan Negeri untuk penyaluran geran.

“PWS di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan perbelanjaan kita terhad dengan peruntukan diperoleh daripada Baitumal bagi pembayaran gaji kakitangan sahaja, ” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas sesi pendengaran tertutup PAC berhubung laporan pejabat Ketua Audit Negara berkenaan aktiviti jabatan dan agensi termasuk pengurusan syarikat Kerajaan Negeri tahun 2014.

Pada masa sama, Ramli berkata, jika anggaran peruntukan sekitar RM1.5 hingga RM2 juta dapat diperoleh daripada Kerajaan Negeri, ia mampu membantu mereka melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

“Perbelanjaan mengurus PWS bergantung kepada keuntungan pelaburan iaitu kita hanya boleh mengambil 15 peratus daripada jumlah keseluruhan.

CP2A1382-800x533“Anggaran pendapatan PWS dalam setahun hanya sekitar RM600,000 sahaja,” katanya.

Beliau turut menyambut baik sesi pendengaran diadakan PAC dengan jawatankuasa itu mendapat maklum balas terperinci berkenaan operasi dan pengurusan PWS.

“Sokongan PAC terhadap PWS dalam pengurusan hartanah wakaf ini adalah petanda positif diperlukan bagi menjayakan segala dirancang,” katanya.

Sejak penubuhan PWS pada 2011 sehingga 31 Disember 2015, PWS menerima wakaf RM213 juta iaitu masing-masing berjumlah RM26.8 juta bagi wakaf am dan RM147 juta bagi wakaf khas.

Pada masa sama, PWS juga menerima 261 lot wakaf hartanah bernilai RM40 juta selain mewujudkan sejumlah 180 tabung wakaf khas bagi pembinaan masjid, surau, sekolah dan maahad tahfiz.

-AA-


Pengarang :