BN didakwa sabotaj papan iklan calon AMANAH

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 9 JUN: Jentera Barisan Nasional (BN) didakwa cuba mensabotaj papan iklan milik calon Parti Amanah Negara, (AMANAH) ketika kempen pilihan raya kecil PRK Sungai Besar diadakan kini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim, berkata papan tanda calon AMANAH, Azhar Abdul Shukur yang dipasang di beberapa lokasi sekitar Sungai Besar diturunkan dan digantikan dengan calon BN, Budiman Mohd Zohdi.

unnamed“Kita sedar papan tanda calon AMANAH itu diturunkan jam 7 pagi tadi dan tindakan ini amat sinonim dengan BN.

“Tindakan tidak bertangunggjawab ini jelas melanggar peraturan ditetapkan SPR dan mereka perlu mengaku serta membuat permohonan maaf kepada kami,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, tindakan itu jelas membuktikan langkah terdesak BN untuk meraih sokongan masyarakat setempat.

“Saya tidak terkejut kerana amalan politik kotor ini sudah sebati dengan BN. Inikah calon terbaik untuk rakyat?

“Sewajarnya peluang untuk berkempen digunakan sebaiknya secara bersih dan telus, bukannya sengaja menimbulkan provokasi,” katanya.

Pada masa sama, Suee Lim berkata pihaknya akan membuat laporan polis berkenaan unsur sabotaj itu jika jentera BN terus mengamalkan taktik sama bagi keuntungan peribadi.

“Kita akan bawa perkara ini kepada pihak SPR dan pihak kami juga tidak teragak-agak membuat laporan polis,” katanya.

-AA-


Pengarang :