Siar laporan pembangkang, pembantu editor portal turun pangkat

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 JUN: Gerakan Media Merdeka (GERAMM) kesal pembantu editor sebuah portal diturunkan pangkat selepas membuat liputan isu jet peribadi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Perikatan itu dalam satu kenyataan, berkata pembantu editor terbabit dipanggil pulang serta-merta selepas membuat liputan sidang akhbar pemimpin pembangkang di Kuala Kangsar.

Katanya, dia kemudiannya ‘diturun pangkat’ apabila diarah melakukan kerja-kerja biasa sebagai wartawan.

geramm1622757_639867469405812_2095588228_n“GERAMM gusar ‘arahan’ tidak masuk akal, dan seolah-olah ada ‘paksaan’ dan tekanan dalaman kepada pembantu editor itu semata-mata kerana menyiarkan laporan pemimpin pembangkang.

“Jika benar, GERAMM berharap tekanan sedemikian ditarik balik serta merta,” katanya.

Terdahulu, seorang pemimpin mendakwa anggaran RM86.4 juta dibelanjakan Kerajaan Persekutuan untuk menyewa jet peribadi selama dua bulan.

Jet berkenaan kononnya digunakan Rosmah semasa lawatan beliau ke Istanbul, Turki bulan lalu.

GERAMM berkata, pengamal media seharusnya diberi hak bekerja tanpa berpihak demi mencapai matlamat media bebas.

“GERAMM kesal dengan kejadian itu, apatah lagi ia berlaku sejurus negara digemparkan dengan pengakuan bekas pengarang akhbar utama negara atas prinsip kebenaran dalam kewartawanan,” katanya.

GERAMM adalah perikatan longgar wartawan, wakil dan aktivis media yang memperjuangkan kebebasan media dan pengamalnya.

-AA-


Pengarang :