RMK-11: Pembangunan Islam di Selangor meningkat 11%

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 10 JUN: Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali komited dalam memperkasakan pembangunan Islam merangkumi pelbagai aspek seperti ekonomi, sosial dan pendidikan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim, berkata kesungguhan itu dapat dilihat apabila Kerajaan Negeri meningkatkan perbelanjaan 11 peratus kepada RM520 juta untuk JAIS dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) berbanding RM468 juta pada RMK-10.

pengarah jais a“JAIS ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang sentiasa prihatin dan komited memperkasakan pembangunan Islam di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapannya pada Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Masjid Darul Ibadah, Bestari Jaya di sini, semalam.

Pada masa sama, Haris berkata peruntukan RMK-11 membabitkan pembinaan masjid, sekolah, projek menaik taraf masjid dan baik pulih bangunan di bawah seliaan JAIS bagi tempoh lima tahun.

Katanya, peruntukan itu membabitkan RM261.5 juta untuk kerja pembinaan, menaik taraf dan membaik pulih masjid, RM179.2 juta bagi Sekolah Rendah Agama (SRA) dan RM15.6 juta untuk Maahad Tahfiz swasta.

“RM50.5 juta lagi akan dibelanjakan untuk pembinaan dan baik pulih Kompleks Islam, RM11 juta bagi surau dan RM10 juta untuk projek baik pulih lain.

“Pada 2016, lima masjid, empat SRA dan satu Maahad Tahfiz swasta dirancang bagi pembinaan baru dan baik pulih,” katanya.

-AA-


Pengarang :