AGENDANASIONAL

Tiga beranak maut dalam kebakaran

IPOH, 19 OGOS: Sepasang suami isteri bersama bayi lelaki mereka maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Alah Batu, Jalan Kuala Slim di Slim River, awal hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu, pada 3.51 pagi.

“Kami segera mengerahkan anggota dan pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat Slim River dan bantuan dari Tanjung Malim serta Kuala Kubu Bharu bagi kerja menyelamat sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menemui mayat suami isteri berusia lingkungan 30-an bersama bayi berusia hampir setahun berkenaan di dalam bilik pertama rumah berkeluasan 20×60 kaki persegi itu yang mengalami kebakaran sebanyak 70 peratus.

“Semua mangsa disahkan maut di tempat kejadian,” katanya.

Kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk tindakan lanjut.

-BERNAMA


Pengarang :