Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Acara maraton wanita masuk kalendar pelancongan Selangor

PETALING JAYA, 20 JAN: Acara Malaysia Women Marathon (MWM) pada 6 hingga 8 Mac disenarai dalam kalendar pelancongan bagi mempromosikan Selangor di peringkat antarabangsa, kata Tourism Selangor.

Pengurus besarnya berkata program yang menjadi tarikan 8,000 peserta dari dalam dan luar negara membuka ruang pihaknya mempromosi negeri ini.

“Pada masa sama Tourism Selangor mahu memperkenalkan pelancongan sukan sepanjang 2020 sekali gus menyemarakkan lagi aktiviti pelancongan di sini.

“Mungkin pada masa akan datang acara larian sebegini akan dimeriahkan dengan dron seiring dengan Revolusi Industri 4.0 yang ingin dicapai Selangor,” kata Azrul Shah Mohamad pada sidang Media MWM di Hotel Crystal Crown hari ini.

Hadir sama Pengarah MWM, Karen Loh, Ketua Pegawai Eksekutif MCIS Life, Prasheem Seebran, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan Elizabeth Wong.

MWM yang berlangsung di Padang Timur itu terbuka kepada empat kategori iaitu 42 kilometer (km), 21km, 10km dan 5km.

Peserta wanita terbaik bagi kategori maraton 42km akan berpeluang menyertai Acara Maraton Nagoya di Jepun sementara bagi peserta terbaik 21km akan menyertai Larian Wanita Taipei 2020.


Pengarang :