AGENDANASIONAL

Tiga maut, 11 cedera nahas lapan kenderaan di Ipoh

IPOH, 6 JAN: Polis mengenal pasti identiti tiga mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan lapan kenderaan termasuk sebuah treler membawa muatan besi di Kilometer 246.1 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), arah selatan selepas Plaza Tol Kuala Kangsar, malam tadi,

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Polis Razali Ibrahim berkata, ketiga-tiga mangsa itu ialah pemandu kereta Honda BRV, K. Mahinderan, 56, dan dua penumpang wanita, P. Aruna, 56, dan S. Thavalar, 52.

Beliau berkata, kemalangan pada jam 10.45 malam itu melibatkan sebuah treler, Honda BRV, Toyota Inova, Perodua Axia, Proton Waja, Honda Jazz dan dua buah motosikal.

“Kesemua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan bedah siasat akan dijalankan pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, lima orang parah, enam mengalami pelbagai kecederaan, manakala empat lagi tiada kecederaan.

Menurut Razali, kemalangan dipercayai berlaku apabila treler dari arah utara menghala ke selatan telah hilang kawalan selepas tayar hadapan kenderaan itu pecah.

“Treler tersebut menghimpit pembahagi jalan di kanan laluan sebelum berhenti kira-kira 100 meter di hadapan.

“Kemudian datang Honda BRV dari arah belakang di lorong kanan gagal mengelak treler yang berhenti di lorong kanan lalu merempuh bahagian belakang kiri treler sebelum berpusing masuk ke lorong kiri,” katanya.

Katanya, sebuah kereta Perodua Axia yang datang turut gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang kiri treler dan berpusing di lorong kiri.

“Pada masa sama datang pula kenderaan Toyota Inova di lorong kiri tidak sempat mengelak lalu melanggar Perodua Axia dan mengakibatkan dua buah motosikal gagal mengelak kenderaan yang berada di lorong kiri lalu mengakibatkan kemalangan,” katanya.

Beliau berkata, tidak lama kemudian, Proton Waja yang sedang mara di lorong kanan telah melanggar tayar kiri treler tersebut sebelum melintang di tengah jalan dan pada masa yang sama datang Honda Jazz yang berada di belakangnya dan melanggar bucu belakang kiri kenderaan itu tersebut.

Beliau berkata, pemandu treler berusia 45 tahun ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

– BERNAMA


Pengarang :