BUDAYARENCANA

Saman

Oleh Zul Azlin

 

“KITA saman!”
“Tak boleh.”
“Kenapa pula?”
“Eh, ini bukan perkara main-main.”
“Haji, ini hal rumah tangga saya. Tak akanlah saya anggap ini benda main-main.”
Mata tunak menikam wajah Haji Wahid seolah-olah memberitahu kejengkelan dalam jiwa saya sudah mula bercambah. Pengdingin hawa menderu dengan angin sejuk bersuhu 18 darjah Celsius pada kekuatan kipas satu takah. Sedikit pun tidak mampu menyamankan hati seorang perempuan yang remuk dihenyak kecewa. Permaidani Kashmir dan kerusi empuk Lorenzo yang mungkin disusun atur untuk menggamit klien-klien itu langsung tidak menenteramkan saya.
“Kita tak boleh saman benda macam ini. Mahkamah tak terima.”
“Tapi kalau haji yakin dia punca segala masalah saya, tentu haji boleh yakinkan peguam dan hakim.”
Pelik, geram, marah, sedih, bingung, bengang. Kerencaman emosi ibarat bagasi se-orang badut amatur sarkas pinggiran. Percampuran yang tidak koheren. Saya mula memikirkan hidup ini satu jenaka buruk yang panjang. Entah kenapa Haji Wahid pun saya nampak seperti satu lawak ulangan rancangan petang-petang. Saya memang tak puas hati. Dia yang beria-ia menyalahkan benda itu tapi dia sendiri tidak mahu tegakkan keadilan.
“Kita kena ikhtiar supaya jadi pengajaran kepada orang lain.” Rupanya ada geletar suara yang cuba saya tahan. Dek kerancuan emosi tadi.
“Kita serahkan sahaja pada Tuhan. Kita terus berdoa. Itulah ikhtiarnya.”
Kalau setakat berdoa buat apa saya jumpa tuan haji. Saya tak suarakan kata hati ini. Bukankah dia seorang haji? Saya perlu hormat. Dia juga seorang yang tersohor. Kata pembantunya tadi, di belakang saya ada berpuluh lagi orang menunggu.
Cumanya prinsip hidup saya adalah an eye for an eye. Saya tidak boleh biarkan hanya pembalasan di akhirat. Di dunia, kita ada tangan dan akal untuk selesaikan segala yang berselirat. Ada tangan dan akal untuk menegakkan keadilan dan membasmi kebodohan zulmat.
Namun, masuk akalkah semua ini? Tiga tahun lamanya berkenalan dan kami semakin mesra. Tiada gelora, tidak peduli orang kata, hanya ada hari-hari yang membenih cinta. Cinta yang terpateri pada janji yang terungkap dan cincin yang tersarung kemudiannya.
Memang tidak masuk akal. Cinta (yang saya sangka) murni itu hanya menatijahkan dua kali peleburan intim di ruang yang kami gelar kamar pengantin. Sepanjang tiga bulan hidup bersama hanya dua kali sahaja! Terus terang saya tidak boleh menerima keadaan ini. Sudah tentu, semua perempuan moden yang melalui emansipasi seharusnya mementingkan hal ini. Apa lagi puncak kebahagiaan paling suci untuk sepasang makhluk yang terbenam dalam asmara?
Dua kali sahaja dalam tiga bulan. Memang tidak masuk akal. Beratur alasan yang dimuntahkan. Haid yang terlalu panjang – sepuluh hari tidaklah terlalu panjang. Migrain – yang dibeli hanya Panadol, di mana ubat-ubat tahan sakit yang lain? Penat – kau kerja pereka grafik sahaja, bukannya buruh binaan. Belum bersedia – oh, come on!
“Jadi macam mana, haji?”
“Kita tak boleh saman jin.” Haji Wahid menjawab tegas.
Ini lebih tak masuk akal. Kita tak boleh saman jin? Kalau kita boleh mendiagnosis penyakit jin – ya kamulah haji antaranya, kalau orang boleh bercakap dengan jin – menurut tajuk buku terkenal, kalau ada yang bela jin, atau tangkap jin, atau nampak jin, kenapa pula kita tak boleh bawa jin ke muka pengadilan dan saman berjuta-juta ringgit?.
“Kalau haji tak boleh buat begitu apa gunanya saya datang ke sini? Baik saya jumpa ahli terapi psikologi.”
“Ini sihir pemisah. Kamu tak percaya jin?”
“Mestilah saya percaya. Haji kata ada orang hantar, bos tempat dia bekerja. Saya boleh upah orang untuk siasat dan uruskan perempuan gatal itu. Biar dia rasakan akibat mengganggu perhubungan kami ini. Tapi jin itu pun mesti terima balasan. Yang itu haji kena bantu.”
“Ish, tak logik cara kamu berfikir. Mana boleh kita saman jin.”
Logik hanya ada pada templat kebenaran masing-masing. Logik orang lain barangkali lain acuannya dengan kita. Semua ada kebenaran sendiri. Saya teringat semula kata-kata kawan saya. Sebenarnya bukan kawan, tetapi pemandu Grab yang memandu saya dalam perjalanan satu jam dari Nilai ke Pandan Jaya. Saya luahkan perasaan seolah-olah kusyen belakang kereta itu adalah sofa terapi si Freud. Oh ya, Freud itu seorang ateis. Saya masih ingat nasihat pemandu muda ini bahawa ayat Quran yang menyebut tentang sihir pemisah ini (tentulah saya tak ingat ayat yang mana, Al-Baqarah seratus berapa entah) tak semestinya bermaksud jin tapi maksud lebih umum seperti batu api atau fitnah.
Dia sarankan saya berjumpa kaunselor perkahwinan. Ujarnya lagi, walaupun saya tidak minta pun nasihatnya tapi saya relakan, kebanyakan masalah perkahwinan ada isu-isu psikologi yang sering disapu ke bawah ambal. Pandai sahaja pemandu Grab ini berlagak seperti pakar psikiatri. Sudah tentulah saya tak peduli sangat kata-katanya. Dia pemandu Grab. Haji Wahid pula seorang… yalah, seorang haji. Pasti iktikad saya lebih kepada Haji Wahid. Saya mahu masuk syurga. Seperti ratusan pelanggan-pelanggannya yang lain.
“Kamu teruskan datang berubat di sini. Banyak bersabar. Sihir ini kena buang perlahan-lahan. Jangan gopoh.”
Mesej masuk. Notifikasi WhatsApp.
Saya mengangkat tangan pada Haji Wahid. Bukan saya suruh dia bercakap kepada telapak ini tapi saya mengisyaratkannya menunggu sebentar. Entah kenapa saya rasa perlu untuk membaca mesej waktu itu juga.
Maaf sayang. Saya telah kembali. Ringkas mesej di bawah gambar.
Saya terduduk. Bagasi emosi saya tadi terburai. Bergolek dan bertabur di atas permaidani gebu. ‘Rasa dicurangi’ tidak cukup untuk mewakili situasi dan perasaan ini.
Foto di tepi pantai. Cinta saya tidak lagi berambut gaya potongan undercut, berkemeja Flanel dan bercelana Denim. Dalam busana dan hijab itu, saya akui dia lebih cantik daripada saya.
Haji Wahid masih menunggu jawapan sambil tersengih-sengih.

Pengarang :