AGENDANASIONAL

Malaysia perlu sumber alternatif biayai ekonomi

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Kerajaan digesa menubuhkan Dana Jaringan Keselamatan Ekonomi dan Sosial Nasional (NESSFUND) sebagai sumber pembiayaan alternatif untuk mengurangkan impak Covid-19 ke atas rakyat dan ekonomi.

Penasihat Ekonomi Dewan Perdagangan Islam Malaysia Datuk Abd Aziz Abu Bakar, atas kapasiti peribadinya, mencadangkan entiti perniagaan menyumbang kepada dana tersebut yang akan digunakan untuk inisiatif jaringan keselamatan sosial di negara ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan, kerajaan akan memberi insentif cukai pengurangan berganda kepada mereka di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Di bawah dasar dan langkah cukai semasa, syarikat mendapat pengurangan cukai atas sumbangan yang diluluskan atau dibenarkan tetapi dihadkan sebanyak 10 peratus daripada pendapatan agregat mereka. Oleh itu, pelepasan tersebut agak terhad untuk mereka menyumbang kepada dana tersebut.

“Itu sebabnya kami mencadangkan insentif cukai pengurangan berganda. Ini sekurang-kurangnya akan menarik komuniti perniagaan untuk menyumbang dan kami turut mencadangkan dana tersebut diuruskan oleh Kementerian Kewangan,” katanya pada webinar bertajuk, “Covid-19 Safety Net for People and Economy – How to fund it?” anjuran Dewan Perdagangan Malaysia-China hari ini.

Abd Aziz, yang juga Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia menggalakkan institusi dan organisasi yang diluluskan di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk menyumbang kepada yayasan yang berdaftar untuk menyokong inisiatif jaringan keselamatan sosial di Malaysia.

“Apabila mereka menyumbang kepada yayasan, khusus untuk bantuan Covid-19, mereka juga akan diberi insentif cukai pengurangan berganda,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini, kerajaan menggunakan dana yang boleh memberi impak kepada kedudukan fiskalnya.

“Kami tidak begitu bimbang mengenai kedudukan fiskal berikutan pembiayaan dan perbelanjaan oleh kerajaan untuk membantu rakyat dan komuniti perniagaan.

“(Bagaimanapun), terdapat penurunan dalam dana Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan simpanan persaraan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya.

Dilaporkan sebanyak RM1.9 bilion nilai pengeluaran bulanan telah diluluskan melalui kemudahan KWSP i-Lestari sehingga 31 Mei.

– BERNAMA


Pengarang :