Program penyusunan semula peniaga dan penjaja Bandar Baru Sungai Buloh serta taklimat memudahkan permohonan permit berlangsung di Dewan Meranti, Sungai Buloh pada 15 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jangan keliru, MBSA jawab semua isu peniaga Sungai Buloh

SHAH ALAM, 15 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengeluarkan penjelasan dalam bentuk soal jawab berkenaan Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja di Bandar Baru Sungai Buloh.

Penjelasan berkenaan merangkumi tindakan MBSA melaksanakan penguatkuasaan terhadap pengusaha yang tidak menepati syarat, isu gerai dan bantuan diberikan kepada peniaga dan penjaja di kawasan itu.

Kira-kira 80 peniaga kecil di Seksyen U20 itu akan mendapat manfaat daripada langkah MBSA membantu usahawan tempatan.

Sebelum ini PBT berkenaan menjalankan operasi sita dan roboh susulan serbuan terhadap premis judi haram dan peniaga warga asing, termasuk rokok seludup, di kawasan berkenaan.

Ia juga mengeluarkan 101 notis terhadap premis yang membina struktur tambahan tanpa izin PBT berkenaan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Program Penyusunan Semula Peniaga/Penjaja Bandar Baru Sungai Buloh

1. Apa isu berkaitan Majlis Bandaraya Shah Alam?

Majlis Bandaraya Shah Alam MBSA menjalankan Program Penyusunan dan Penyemakan Semula Penjaja / Peniaga di Bandar Baru Sungai Buloh, khususnya di Seksyen U20.

Penyusunan ini dijalankan melalui operasi bersepadu dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

2. Adakah benar gerai diroboh dan peniaga diusir?

Tidak sama sekali. Penjaja dan peniaga yang menepati syarat pelesanan oleh pihak Majlis tidak terlibat.

Majlis Bandaraya Shah Alam hanya memeriksa dan merobohkan struktur tambahan pindaan yang dibina tanpa kebenaran. Tiada gerai yang dirobohkan oleh MBSA.

3. Apakah tindakan yang diambil terhadap pengusaha yang tidak menepati syarat?

Pihak Majlis Bandaraya Shah Alam telah mengambil tindakan terhadap 7 premis perjudian yang disita, 1 unit gerai, 3 unit kabin, 5 unit ‘awning’ hadapan, 16 unit ‘awning’ lorong belakang.

Bagi 7 premis perjudian haram, MBSA telah merobohkan dinding penyekat di dalam premis tersebut dan menyita barangan yang terdapat di premis tersebut.

Tambahan kepada itu, 1 unit gerai, 3 unit kabin & 5 unit awning hadapan dirobohkan, manakala pengusaha 16 unit gerai yang didakwa dirobohkan oleh MBSA sebenarnya dirobohkan sendiri oleh pemilik premis berkenaan.

4. Mengapa gerai & kabin dirobohkan?

Tiada gerai dirobohkan. Pengusaha gerai tersebut mengoperasikan satu premis perniagaan percetakan di kawasan yang dizonkan sebagai kawasan industri ringan. Pengusaha tersebut telah membina 3 kabin secara tetap yang dioperasikan sebagai restoran di kawasan perindustrian ringan tanpa permohonan dan kelulusan MBSA yang juga dikategorikan sebagai salah guna bangunan.

5. Kalau begitu, bagaimana pula dengan kes-kes premis yang dicabut awning mereka? Adakah perniagaan mereka dihentikan?

Tidak. Yang diruntuhkan hanya penambahan di luar premis yang dilakukan oleh pihak premis tanpa izin.

Kesemua 16 peniaga masih dibenarkan dan sedang berniaga. MBSA tidak menutup perniagaan mereka. Malah, MBSA turut akan mengadakan perjumpaan khusus dengan kesemua peniaga ini untuk bantu mereka memohon dan memperolehi kelulusan segera bagi penambahan yang menepati syarat pihak majlis.

6. Saya diberitahu hanya premis orang Melayu dikacau. Adakah ini betul?

MBSA sentiasa menjalankan tugasnya dengan berhemah tanpa pilih bulu ataupun diskriminasi. Selain kabin restoran tersebut, 1 kabin yang dimiliki Persatuan Cina dan sebuah kabin milik Kuil Hindu di kawasan awam tanpa kebenaran atau kelulusan pihak Majlis. Pemilik kabin juga telah dibenarkan untuk menuntut semula kabin-kabin tersebut keesokan harinya.

7. Mengapa MBSA hanya jalankan operasi di Bandar Baru Sungai Buloh?

MBSA telah jalankan sebanyak operasi dan mengambil tindakan ke atas 44 premis perniagaan tanpa lesen di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh sejak awal tahun ini.

Tambahan pula, MBSA telah menjalankan operasi penyusunan semula di kawasan-kawasan berikut :

i) Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 Shah Alam – 9 Mei 2020
ii) Seksyen U4, Kampung Baru Sungai Buloh – 3 Jun 2020
iii) Seksyen 7, Shah Alam – 8 Julai 2020
iv) Paya Jaras Hilir – 20 Julai 2020
v) Paya Jaras – 29 Julai 2020

8. Mengapa MBSA menyita premis perniagaan waktu rakyat sedang menghadapi krisis ekonomi disebabkan COVID-19?

MBSA di bawah Kerajaan Negeri Selangor amat prihatin terhadap cabaran ekonomi yang dihadapi golongan peniaga terutamanya pada waktu ini. Fi lesen yang seharusnya dibayar oleh pihak peniaga pada bulan April & Mei 2020 dikecualikan dengan implikasi kewangan sebanyak RM1,081,438.00 kepada MBSA.

Malah, Kerajaan Negeri Selangor telah menghulurkan bantuan pantas RM500 secara ‘one-off’ untuk membantu kelangsungan peniaga dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.

Bukan itu sahaja. Bagi gerai-gerai yang terlibat dalam operasi penyusunan semula, fi kompaun yang sepatutnya dikenakan ditangguhkan sehingga tahun hadapan untuk membantu peniaga yang hadapi kekangan ‘cash-flow’ disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini.

 

 

 

 


Pengarang :