EXCO pelaburan, perdagangan dan perindustrian, Dato’ Teng Chang Khim. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor rancang anjur pertunjukan udara, pameran jet peribadi

SHAH ALAM, 22 OGOS: Selangor merancang menganjurkan pertunjukan udara dan pameran jet peribadi pertama tahun hadapan, kata EXCO pelaburan, perindustrian dan perdagangan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata ia bertujuan merancakkan lagi industri aeroangkasa sekali gus memastikan Selangor terus unggul selaku pemain utama dalam sektor berkenaan di negara ini.

“Kerajaan Negeri komited menjadi peneraju dalam industri aeroangkasa memandangkan lebih daripada 62 peratus (dalam sektor ini) berpangkalan di Selangor.

“Justeru, kita merancang penganjurannya (pertunjukan udara) tidak lama lagi…mungkin tahun depan juga kita akan mengadakan pameran jet peribadi pertama dan sudah tentu ia menjanjikan keseronokan,” katanya pada temu bual bersama Media Selangor baru-baru ini.

Beliau berkata pihaknya juga sedang berusaha meyakinkan pelabur tempatan untuk membangunkan taman pembuatan aeroangkasa menerusi penyelarasan Pejabat Koordinasi Industri Aeroangkasa Selangor Darul Ehsan (S-DAICO).

“Baru-baru ini, saya bertemu dengan bakal pelabur dan menjemput semua pihak berkepentingan untuk masuk…(mereka) bukan sahaja pemilik tanah dan pemaju malah yang sudah berada dalam industri ini.

“Setakat ini, usaha berjalan sangat lancar kerana kita menjangkakan industri aeroangksa kembali bangkit selepas pandemik Covid-19 beransur pulih dan sudah tentu dengan beberapa perubahan dalam norma baharu,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor menyasarkan untuk menjadi destinasi utama bagi industri aeroangkasa dalam tempoh 10 tahun akan datang menerusi S-DAICO.


Pengarang :