Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom, Mohamad Ikwan Adam Azha, 18, mengikuti teknik menjawab soalan melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di kediamannya di Jenjarom, Kuala Langat, Banting pada 4 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kad SIM percuma kepada pelajar PTRS sedia untuk diedar

SABAK BERNAM, 17 SEPT: Syarikat telekomunikasi yang bertanggungjawab  sudah bersedia untuk mengedarkan kad modul pengenalan pelanggan (SIM) percuma  kepada 7,000 pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata pengagihan pertama SIM itu kepada pelajar  bermula hujung bulan ini, lebih cepat berbanding perancangan awal pada Oktober.

“Syarikat telekomunikasi sudah bersedia untuk buat penghantaran pertama dan perbincangan dilakukan dengan Jabatan Pendidikan Negeri memutuskan penyerahan dibuat melalui pejabat pendidikan daerah bersama guru penyelaras.

“Oleh demikian semua pelajar tidak perlu datang kerana telah diselaras dengan 212 guru penyelaras yang menjaga mereka,” kata Ahmad Azri Zainal Nor selepas menyerahkan bakul makanan MBI di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Air Tawar, Sabak Bernam di sini hari ini.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor

Berhubung permohonan 2,000 lagi pelajar PTRS yang memohon SIM Ahmad Azri menjelaskan pihaknya sedang mempertimbangkan perkara tersebut.

“Sekiranya permohonan bahagian sektor penjaja kurang, kita akan memasukkan nama pelajar ini dalam kategori tersebut,” katanya.

Ahmad Azri turut mengalakkan supaya nelayan memohon inisiatif tersebut kerana terdapat kuota disediakan untuk golongan tersebut.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati SIM dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasar pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

Turut menerima manfaat ialah pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.


Pengarang :