Petugas kesihatan memberi suntikan kepada penerima vaksin Covid-19 semasa program Vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 7 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penerima vaksin lebih terlindung, kurang risiko jangkitan teruk

SHAH ALAM, 5 SEPT: Individu yang lengkap divaksinasi lebih terlindung dan kurang berisiko mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM menerusi Facebook memaklumkan bagi kategori tiga, empat dan lima, daripada 322 kes dilaporkan sebanyak 240 kes atau 74.5 peratus terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap vaksinasi berbanding 82 kes atau 25.5 peratus telah lengkap divaksinasi.

Sementara bagi kategori satu dan dua daripada 20,074 kes dilaporkan sejumlah 66.2 peratus tiada vaksinasi atau tidak lengkap disuntik.

Situasi ini jelas menunjukkan mereka yang lengkap menerima vaksin adalah lebih terlindung dan kurang berisiko mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk.

Menurut KKM perkembangan positif ini dapat terus dilihat sekiranya Malaysia telah mencapai kadar vaksinasi yang lebih tinggi.

KKM menasihatkan kepada mereka yang belum mengambil vaksin Covid-19 segerakan pengambilannya bagi melindungi orang di sekeliling daripada kemungkinan dijangkiti.

Hari ini jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh negara melonjak semula kepada 20,396 kes berbanding 19,057 kes semalam.

Angka yang dikongsi KKM di Facebook menunjukkan jangkitan di Selangor kekal dengan paras semalam apabila mencatat 3,886 kes.


Pengarang :