Pelari pecut muda Muhammad Azeem Mohd Fahmi pecah rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09 saat di Kejohanan Olahraga Dunia B-20 di Cali, Colombia awal pagi tadi. Foto Bernama TV
AGENDASUKANKINI

Azeem yakin catat bawah 10 saat acara 100 meter

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Atlet pecut muda negara Muhammad Azeem Fahmi berjanji akan ‘menghadiahkan’ rakyat Malaysia catatan acara 100 meter di bawah 10 saat tidak lama lagi.

Kelmarin, pelari berusia 18 tahun itu berjaya memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 dalam Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 tahun yang berlangsung di Cali, Colombia, lapor portal Berita Harian.

Rekod kebangsaan sebelum ini dipegang Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 10.18s ketika menjuarai saingan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak.

“Berlari di pentas dunia adalah sesuatu yang berharga dan banyak yang saya belajar. Terima kasih semua yang sentiasa menyokong saya.

“Saya berjanji kepada anda semua, anda akan menyaksikan pelari pertama Malaysia yang berlari dengan catatan di bawah 10s tidak lama lagi,” kata Azeem menerusi ruangan di Instagram.

Azeem yang mara sehingga peringkat akhir acara 100 meter bagaimanapun terpaksa akur menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan catatan 10.14 saat.

Sementara itu, Azeem tetap berpuas hati dengan pencapaiannya dalam acara 200 meter biarpun langkahnya terhenti di peringkat separuh akhir selepas menduduki tempat keempat dalam aksi saringan dua, awal pagi tadi.

Dia terpaksa akur apabila hanya mencatatkan masa 20.97s sekali gus tidak berjaya untuk meneruskan kemaraan ke pentas akhir

“Terpaksa ditunda selama dua jam dan berlari dalam keadaan hujan tetapi Alhamdulillah saya berjaya menamatkan saingan sehingga garisan penamat.

“Tiada apa yang hendak dimalukan dan saya bangga berjaya mara sejauh ini. Buat semua yang mengharapkan saya berlari di pentas final, saya mohon maaf tidak berjaya melakukannya.

“Allah adalah perancang terbaik dan saya pasti akan ada sesuatu yang lebih besar menanti untuk saya pada masa depan,” katanya.

 


Pengarang :