Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah mencemar duli melawat pameran sebelum merasmikan Sambutan Hari OKU Sedunia peringkat Selangor di Pesta Buku Antarabangsa Selangor yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA pada 3 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

DYTM Raja Muda Selangor berkenan rasmi Sambutan Hari OKU

SHAH ALAM, 3 DIS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan mencemar duli merasmikan Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) peringkat Selangor hari ini.

Keberangkatan tiba Tengku Amir Shah di Pusat Konvensyen Shah Alam disambut EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud.

Baginda turut meluangkan masa hampir sejam melawat pameran kraftangan OKU di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah merasmikan sambutan Hari OKU Sedunia peringkat Selangor di Pesta Buku Antarabangsa Selangor yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA pada 3 Disember 2022. Hadir sama EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Bertemakan ‘Transformasi Ke Arah Pembangunan Inklusif OKU’ sambutan berkenaan merupakan hasil kerjasama Selangor Youth Community (SAY), Unit Perkhidmatan OKU Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan UiTM Puncak Alam.

Pelbagai kegiatan menarik diadakan sepanjang sambutan berkenaan termasuklah i-sense yang menjadi platform bagi komuniti dan pelajar OKU berbakat untuk mempamer dan menjual hasil karya seni mereka.

Selain itu, i-connect iaitu aktiviti yang memberi peluang kepada pengunjung menyertai kelas bahasa isyarat seperti abjad, interaksi dua hala dan rutin kehidupan harian oleh tenaga pengajar dari Persatuan Orang Pekak Malaysia.

Selain itu, pengunjung juga berkesempatan mendengar forum bertajuk ‘Ke Arah Melahirkan OKU Berdikari’ dan turut ditampilkan persembahan istimewa kumpulan 6ixth Sense.


Pengarang :