KWSP mengumumkan permohonan untuk pengeluaran khas RM10,000 dibuka kepada ahli bawah umur 55 tahun mulai 1 April 2022.
AGENDANASIONAL

Tambahan caruman simpanan KWSP RM500 kepada ahli berusia 40 hingga 54 tahun

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Kerajaan bersetuju menambah caruman simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM500 kepada ahli yang berusia 40 hingga 54 tahun dengan simpanan kurang RM10,000 dalam Akaun 1.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat di sini hari ini berkata program itu akan memberi manfaat kepada dua juta ahli KWSP melibatkan peruntukan hampir RM1 bilion.

“Setelah negara dibelenggu dengan musibah pandemik Covid-19, rakyat terpaksa beberapa kali mengorbankan simpanan hari tua mereka bagi menampung keperluan hidup sewaktu pandemik.

“Kini setelah rakyat beransur-ansur bangkit untuk membina semula kehidupan, kebanyakan rakyat menggunakan pendapatan yang diterima untuk menyara kehidupan sementara simpanan hari tua masih rendah.

“Kerajaan beriltizam untuk membantu rakyat membina semula simpanan persaraan mereka bagi memastikan simpanan yang ada kelak mencukupi untuk membiayai hari persaraan,” katanya.

Belanjawan ini yang pertama dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Bagi menggalakkan lebih ramai orang bekerja sendiri menyimpan dalam KWSP, beliau berkata kerajaan meningkatkan nilai sumbangan padanan i-Saraan kepada RM300 berbanding RM250 sebelum ini, melibatkan RM30 juta peruntukan dengan lebih 100,000 pencarum menerima manfaat.

Anwar berkata jumlah had pelaburan individu Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) akan ditingkatkan kepada RM300,000 berbanding RM200,000 sebelum ini.

Beliau berkata pentadbirannya juga bersetuju untuk meningkatkan saiz dana Amanah Saham Malaysia (ASM) sebanyak RM5 bilion.

“Kerajaan menyokong peningkatan pegangan ekuiti dalam kalangan Bumiputera,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :