Suasana hari ketiga sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 24 Mei 2023. Foto Facebook Parlimen Malaysia
AGENDANASIONAL

Jumlah wang tidak dituntut negara cecah RM11.2 bilion

SHAH ALAM, 24 MEI: Jumlah wang tidak dituntut negara yang diurus Jabatan Akauntan Negara mencecah RM11.2 bilion sehingga 30 April lalu, kata Timbalan Menteri Kewangan 1.

Datuk Seri Ahmad Maslan berkata daripada jumlah itu, sebahagian besarnya iaitu 70 peratus adalah daripada wang dalam akaun bank yang tidak aktif dalam tempoh tujuh tahun atau lebih.

“Selain itu wang yang tidak dibayar kepada empunya seperti gaji, bonus dan dividen dalam tempoh setahun serta lebihan wang dalam akaun perdagangan antara pembekal dan syarikat dalam tempoh dua tahun atau lebih.

“Sehingga semalam sebanyak RM3.3 bilion sudah dikembalikan kepada rakyat yang menuntut,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun yang ingin tahu mengenai jumlah wang tidak dituntut sehingga 31 Mac 2023.

Ahmad berkata rakyat digalakkan membuat semakan melalui laman sesawang rasmi Jabatan Akauntan Negara iaitu www.anm.gov.my (portal eGumis) dan seterusnya tuntutan sekiranya terdapat wang tidak dituntut milik mereka.

“Tiada sebarang pembayaran atau khidmat ejen diperlukan untuk membuat tuntutan, jadi buatlah semakan dan tuntutan sekiranya ada.

“Tuntutan dengan dokumen yang lengkap akan diterima dalam temph 14 hingga 30 hari selepas dituntut,” katanya.


Pengarang :