Orang ramai mendengar syarahan Sama’ Sifat Nabi SAW dan Ijazah Hadis Musalsal disampaikan oleh bekas Mufti Besar Mesir Dr Ali Jum’ah ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 23 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Karya agung Imam al-Ghazali perinci akhlak mulia Rasulullah

SHAH ALAM, 24 MEI: Keperibadian dan sifat terpuji Nabi Muhammad SAW tidak dapat digambarkan secara lisan, menurut Imam al-Ghazali menerusi karya agung Ihya’ Ulumuddin.

Bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Jum’ah berkata meskipun kitab berkenaan menyebutkan secara terperinci, namun akhlak Rasulullah yang terlalu tinggi dan mulia tidak mampu dibayangkan.

Bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Jum’ah menyampaikan syarahan Sama’ Sifat Nabi SAW dan Ijazah Hadis Musalsal ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 23 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kitab ini menyebut semua sifat-sifat untuk menggambarkan baginda, namun secara lisan ia tidak dapat digambarkan kerana akhlak Rasulullah terlalu tinggi. Kerana baginda dikurniakan (dipilih) dan ditentukan Allah sebagai Nabi yang terakhir dan menjadi pembimbing kita.

“Imam al-Ghazali terpaksa menggunakan lafaz dan kiasan yang tinggi serta halus untuk menggambarkan peribadi baginda namun tidak sama,” katanya.

Dr Ali Juma’ah bersyarah dalam bahasa Arab pada acara Sama’ Sifat Nabi SAW dan Ijazah Hadis Musalsal sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini malam tadi.

Syarahan beliau kemudiannya diterjamahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Ustaz Faiz Fateh dan Ustaz Noor Azam Bahador.

Orang ramai mengaminkan doa yang dibaca oleh bekas Mufti Besar Mesir Dr Ali Jum’ah ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 23 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Festival Turath Islami Selangor berlangsung sehingga 25 Mei ini dianjurkan Kerajaan Negeri bertujuan mengangkat perbincangan dan penghayatan mengenai kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali.

Majlis dengan kerjasama Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menyasarkan penyertaan 2,500 warga Selangor dan rakyat Malaysia dengan pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian menerusi www.turathislamiselangor.com

IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri, bakal menterjemah 15 karya mulai tahun ini termasuk kitab Ihya Ulumuddin yang bakal diterbit dalam 20 siri dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026.

Kakitangan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menunjukkan buku terjemahan Imam Al-Ghazali ketika Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :