Foto Arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Wanita warga emas ditahan disyaki tipu skim pelaburan

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang wanita kerana disyaki terlibat dalam penipuan skim pelaburan yang menggunakan nama sebuah bank antarabangsa, 25 Mei lalu.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata warga emas berusia 60 tahun itu merupakan suspek utama kes berkenaan.

Beliau berkata PDRM juga menerima dua laporan polis berhubung kes itu.

“Berdasarkan siasatan, skim pelaburan ini mula beroperasi sejak awal 2023 dan menawarkan pulangan 30 hingga 70 peratus daripada modal pelaburan yang dikeluarkan.

“Skim pelaburan ini turut menawarkan lot saham yang menjanjikan keuntungan sehingga 100 peratus dalam tempoh 72 jam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorsiah berkata bagaimanapun, setelah mangsa membuat pindahan wang, keuntungan yang dijanjikan tidak dibayar.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu manakala suspek direman lima hari bermula 26 Mei hingga esok di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

“Hasil semakan mendapati suspek juga mempunyai rekod lampau berkait dua kes penipuan pelaburan berkaitan penjualan minyak diesel.

“Orang ramai yang mungkin menjadi mangsa skim pelaburan ini diminta tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Beliau berkata PDRM menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan sentiasa membuat semakan secara terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.

“Orang ramai juga diminta mendapatkan maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti portal semak mule, ‘alert list’ Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim pelaburan yang meragukan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :