Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mesra Selangor Zahariman Ariffin bergambar dengan A. Galak dalam majlis Aidilfitri anjuran syarikat United Nine Creative Sdn. Bhd di Hotel Seri Pasifik, Kuala Lumpur pada 17 Mei lalu. Foto : Yayasan Mesra Selangor
AGENSISELANGOR

Yayasan Mesra Selangor bantu ringan beban penggiat seni, sumbang 50 pek makanan

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 19 MEI: Yayasan Mesra Selangor menyerahkan 50 pek Peduli kepada kumpulan penggiat seni yang memerlukan dalam majlis Aidilfitri di Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur pada 17 Mei lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mesra Selangor berkata inisiatif ini diharap dapat membantu meringankan beban golongan berkenaan.

“Sumbangan ini pertama kali diberikan kepada kumpulan penggiat seni. Biasanya pihak yayasan beri kepada penduduk memerlukan melalui ketua komuniti.

“Semoga sumbangan ini dapat membantu meringankan beban mereka,” kata Zahariman Ariffin ketika dihubungi.

Menurut Zahariman seramai 30 penggiat seni hadir menerima pek Peduli antaranya pelakon A. Galak sementara 20 lagi pek Peduli akan diserahkan kemudian.

Pek Peduli itu mengandungi bahan makanan mentah kering seperti beras, tepung dan sebagainya.

“Sejak 2020 sebanyak 40,000 pek Peduli disumbangkan kepada mereka yang memerlukan,” tambahnya.

Majlis Aidilfitri anjuran syarikat United Nine Creative Sdn. Bhd itu turut melancarkan teaser filem Syaitan Munafik.

Yayasan Mesra Selangor merupakan anak syarikat Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).


Pengarang :