Orang ramai menjalani pemeriksaan kesihatan percuma menerusi program Selangor Saring sempena Jelajah kita Selangor Penyayang daerah Petaling di Sekolah Rendah Agama Kampung Medan 2, Petaling Jaya pada 12 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Saringan kesihatan percuma di sembilan lokasi mulai Ahad ini

SHAH ALAM, 19 MEI: Program Selangor Saring fasa dua bagi mengesan penyakit lebih awal penduduk kembali diadakan, bermula Ahad ini di sembilan lokasi, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata pihaknya menyasarkan penyertaan 3,000 peserta dalam program secara percuma anjuran Kerajaan Negeri itu.

“Program berjalan sehingga pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan akan disambung selepas itu. Ini merupakan program berterusan demi manfaat kesihatan penduduk.

“Peserta boleh melakukan pemeriksaan fizikal, sampel ujian darah, air kencing selain saringan empat jenis barah. Peserta juga boleh membuat pemeriksaan mata, gigi, telinga dan fisioterapi,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Siti Mariah berkata program akan membuka tirai di Dewan MBSA, Paya Jaras Tengah pada Ahad ini diikuti di Dewan Sungai Gulang-gulang, Permatang (27 Mei) dan Pejabat Ahli Dewan Negeri Hulu Bernam (28 Mei).

Program dari 9 pagi hingga 3 petang turut dijadualkan di Dewan Seri Siantan, Sungai Tua (3 Jun); Kompleks Penghulu Mukim Hulu Langat, Dusun Tua (4 Jun) dan Dewan Komuniti Taman Sri Sungai Pelek (10 Jun).

Program sama diteruskan pada 11 Jun di Dewan Taman Banting Baru, Morib selain di DUN Meru dan Sungai Kandis, masing-masing dijadual pada 17 dan 18 Jun.

Kerajaan Negeri memperuntuk dana RM3.4 juta bagi melaksanakan program Selangor Saring yang menyasarkan individu yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Sebelum ini, Dr Siti Mariah memaklumkan Selangor Saring antara enam inisiatif diperkenal khusus untuk rakyat negeri ini bermula dari saringan percuma, bantuan kewangan serta pembiayaan.


Pengarang :