EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau menyampaikan surat subsidi bantuan tambang bas sekolah kepada wakil Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Batu Caves di foyer bangunan pentadbiran negeri, Shah Alam pada 8 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

26,258 murid sekolah tamil dapat bantuan tambang bas sekolah sejak 2013

SHAH ALAM, 8 JUN: Seramai 26,258 murid sekolah jenis kebangsaan tamil (SJKT) di seluruh negeri menerima bantuan subsidi tambang bas sekolah sejak 2013, kata EXCO kebajikan masyarakat.

Lebih RM7 juta dibelanjakan, V Ganabatirau menjelaskan bantuan itu bagi meringankan beban ibu bapa berikutan sebahagian besar tinggal di pedalaman atau ladang, yang jauh dari sekolah.

“Program ini merupakan acara tahunan dan antara program utama bawah portfolio saya, malahan setiap tahun jumlah pelajar dan peruntukan sentiasa bertambah,” katanya ditemui di sini.

Sebelum itu, beliau mengagihkan bantuan sama berjumlah RM1.078 juta kepada 3,594 murid dari 97 sekolah dalam sebuah majlis di foyer bangunan pentadbiran di sini hari ini.

Menurut Ganabatirau, bantuan tahun ini diuruskan sepenuhnya pihak sekolah mengikut dana disalurkan
Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) untuk membolehkan agihan dibuat lebih cepat.

“Saya berharap program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang meski saya sudah tidak lagi memegang portfolio ini kerana ia amat bermakna kepada keluarga yang memerlukan,” katanya.


Pengarang :