AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Madani Afiat dilancar di Batu Caves esok, tawar saringan kesihatan percuma

SHAH ALAM, 8 JULAI: Madani Afiat sebuah inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  menyebarluaskan maklumat asas pencegahan penyakit dan nasihat kesihatan bakal dilancar esok.

Bertempat di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dijadualkan menyempurnakan majlis yang bermula 7 pagi hingga 2 petang.

Program hasil cetusan idea Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa antara lain memberi peluang kepada KKM mendekati komuniti dengan mempromosikan gaya hidup sihat.

Madani Afiat antara lain berperanan meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan masyarakat dalam mencegah risiko penyakit tidak berjangkit (NCD).

Ia juga bakal memberi pendedahan kepada jururawat pelatih Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia terhadap program kemasyarakatan selain menjadi platform pemantauan dan pengumpulan data membentuk pelan tindakan berkesan.

Menerusi program itu, orang ramai berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti antaranya termasuklah perkhidmatan kesihatan pergigian dan ujian Human Papillomavirus (HPV) bagi mengesan barah pangkal rahim.

Turut dianjurkan ujian mengesan barah payudara menerusi van bergerak Persatuan Kebajikan Kanser Payudara selain program Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan bagi mengesan kes NCD secara percuma.

Pengunjung terutamanya golongan muda turut berpeluang mengikuti pelbagai acara menarik seperti permainan e-sukan, Sony PlayStation 5 (PS5) dan Sony PlayStation 4 (PS4) serta VR PlayStation.

Turut disediakan program jualan daripada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan kendera saji dan gotong royong mega perangi Aedes selain pameran daripada pelbagai agensi.


Pengarang :