Rumah Selangorku Residensi Adelia, Kajang. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor paling banyak bina rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun

KUALA SELANGOR, 13 JULAI: Lebih 40,000 unit rumah mampu milik dibina di Selangor dalam tempoh lima tahun, jumlah tertinggi direkodkan pentadbiran negeri di Malaysia.

Pengarah strategi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) turut memuji kebolehan negeri itu menggunakan kaedah sendiri untuk membina kediaman tanpa bantuan kerajaan persekutuan.

“Selangor paling komited, paling banyak bina rumah mampu milik iaitu Rumah Selangorku. Cipta produk sendiri demi mahu membantu rakyat negeri ini memiliki kediaman.

“Malah, Selangor juga mengguna pakai kaedah sendiri tanpa minta kaedah kerajaan persekutuan sepenuhnya untuk bina rumah mampu milik ini,” kata Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Pengarah Strategi KEADILAN Akmal Nasrullah Mohd Nasir berucap pada program Jelajah Madani peringkat Dewan Undangan Negeri Permatang di Dewan Serbaguna Haji Omar di Kampung Bukit Belimbing pada 12 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Berucap pada program Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang malam tadi, beliau menjelaskan pihaknya kini dalam proses memulihkan rumah mampu milik yang bermasalah.

Menurut timbalan menteri pembangunan dan kerajaan tempatan itu, sebanyak sembilan daripada 22 projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) berjaya diselesaikan dalam tempoh tujuh bulan.

Dalam pada itu, beliau menepis dakwaan Perikatan Nasional (PN) bahawa kerjasama antara Pakatan Harapan (HARAPAN) Barisan Nasional (BN) punca portfolio perumahan dipegang pemimpin Cina.

“Saban hari main isu perkauman, kononnya masalah besar apabila HARAPAN dan BN jadi kerajaan semua EXCO atau menteri dilantik kaum Cina. Di Selangor, portfolio itu dipegang Rodziah Ismail.

“Melayu, Cina, India tidak menjadi isu jika kita faham niat pemimpin itu. Jika pilih Melayu tetapi anak mencuri minyak masak peket atau menjadi duta bertaraf menteri apa gunanya?” sindirnya.


Pengarang :