BUDAYARENCANA

Indra

Oleh Ruhayat Ahmad

Rona senja melekat di tingkap kapal terbang. Pesawat meninggalkan airport Hualien menuju KLIA. O Senja, apakah saya sudah terlewat?

***

Indra mengadu yang dia sudah berhenti melanggan strim muzik dan filem atas-talian. Saya tanya kenapa.
“Telinga aku semakin tuli, mata aku semakin silau.” Jawabnya dan ditambah pula “Bila aku berhenti dengar lagu dalam kereta baru aku sedar yang enjin kereta aku ini bising gila. Baru aku sedar lower-armed tayar aku dah longgar.”

Saya meletakkan sudu dan garpu di atas pinggan dan menjamah ayam dengan tangan, menggigit bahagian yang susah nak dicubit dengan sudu.

“Bila tak dengar apa-apa, aku lebih relaks. Aku lebih peka kawasan sekitar.” Tambahnya.

“Pergi jumpa doktorlah.” Saya terus meratah ayam goreng.

“Aku ingat aku nak berhenti dengar muzik. Cukuplah dengan muzik yang aku dah dengar selama ini. Filem pun. Nak banyak menikmati alam.”

Saya meletakkan sisa tulang ayam dalam pinggan dan mengesat tangan dengan tisu.

Dia menyambung lagi. “Apa jadi kalau kita buta dan pekak?

***

Penghujung tahun 2019 saya dapat tawaran sambung pengajian kursus pendek di Universiti Kebangsaan Dong Hwa di Hualien, Taiwan dalam pengajian bahasa mandarin. Indra sangat teruja. Saya tahu Indra teruja dengan Taiwan. Sebetulnya filem Taiwan. Katanya filem-filem Taiwan menjadi pengenalan awal tentang erti sinema. Dia selalu menyebut beberapa nama— Edward Yang, Hou Hsiao-Hsien, Tsai Ming-Liang. Katanya Edward Yang lebih dramatis dan urban namun dia lebih suka Hou Hsiao-Hsien yang lebih subtle dan nostalgik pada kehidupan pasca pemisahan China-Taiwan. Time to live, Time to Die adalah filem terbaik sepanjang zaman. Kata Indra dia ingin menonton filem Hou di Taipei Film House.

March 2020 dunia dilanda krisis wabak tahap pendemik. Saya tidak dapat pulang ke Malaysia walaupun kursus bahasa hampir tamat. Saya terperangkap di asrama universiti. Mujur juga terperangkap di sini, kalau di luar universiti tentu susah juga mahu hidup dengan duit biasiswa saja. Di grup chat kawan-kawan ada bertanya khabar. Saya menjawab “still under control”. Indra membalas selepas beberapa hari dengan balasan mesej seperti kebiasaannya “Aku steady!”

Waktu itu, saya sebenarnya melalui tempoh sukar. Menjalani perintah berkurung di negara orang buat saya rasa terasing dan tertekan. Tambah pula baru putus dengan Mui setelah 3 tahun bercinta. Lama juga saya mendiam diri. Solitud. Sibukkan diri dengan tugasan universiti. Sampai satu masa, Su, isteri Indra mesej personal saya menyatakan keadaan Indra—firma arkitek tempat dia bekerja lingkup dan dia diberhentikan kerja. Kondisi pendengaran serta penglihatannya semakin merosot. Saya terduduk. Teringat katanya dulu—“Telinga aku semakin tuli. Mata aku semakin silau.”

Saya mahu balik dan melawat Indra tapi pendemik buat saya terus di sini. Kata Su, Indra tidak boleh pandang skrin telefon. Matanya pedih. Masa saya buat panggilan video saya dapat lihat wajah Indra. Wajahnya cengkung, rambutnya nampak menipis dan telinganya pekak. Su membantu untuk sampaikan apa yang saya katakan. Sebutannya juga telo. Ambil masa jugalah untuk saya faham apa yang dia mahu sampaikan.

Waktu berlalu dan pandemik beralih menjadi endemik. Masyarakat kembali hidup namun waspada. Saya mula sibuk dengan kerja di universiti setelah dapat peluang sambung menjadi tutor Bahasa Melayu dan penterjemahan di fakulti sains sosial. Tidak sempat bertanya khabar tentang Indra. Mujur Su rajin kemas kini keadaan suaminya di akaun Facebooknya. Mencari kekuatan dan sokongan dari kawan-kawan di media sosial. Kata Su, suaminya punya masalah saraf dan sedang menjalani latihan sensori.

Kali ini Indra menulis di ruang status Facebooknya pula setelah sekian lama tidak aktif;

“Keadaan saya okay. Terima kasih kepada atas doa. Isteri banyak membantu termasuk menulis di sini. Saya sudah menerima keadaan begini walaupun tidak sepenuhnya faham kenapa ini terjadi kepada saya. Persoalan yang pernah saya tanyakan kepada teman saya dulu “Apa jadi kalau kita buta dan pekak?” Atau ketika kami berbual dengan sinema “Tanpa suara filem masih mampu difahami, tapi tanpa visual dan suara apakah sinema masih bererti?” Ia menakutkan saya. Kini ketakutan itu telah tiba. Saya tidak dapat lagi melihat dan mendengar. Teringat dekat Tok Ayah yang juga rabun dan tuli di usia akhirnya, dia banyak mengulang cerita yang sama pada saya. Mengertilah saya itu adalah cara terbaik untuk kekalkan memori bersama kita juga untuk menolak sepi.

Saya bersyukur masih punya deria rasa dan sentuh. Ia indera yang terbaik yang saya ada tapi kurang saya perhatikan sebelum ini. Lain betul saat menyentuh tangan isteri kali ini atau ketika kaki menyentuh embun di rerumput.

***

Cuti musim panas, saya bersama tiga orang teman kolej berbasikal dari Hualien ke Taipei melalui jalan pantai. Basikal Eric bocor semasa di tebing Guguzi, Si Mike pula mahu turun mendaki ke tebing tapi setelah fikir banyak kali, hasratnya dibatalkan. Mujur. Kami bermalam di sebuah inap-bilik di pekan Xiulin sempadan Hualien-Yilan. Esoknya tiba di kota Taipei kami berehat di hotel backpackers dan buat haluan sendiri. Ming mahu ikut saya ke Zhongshan. Saya bercerita tentang Indra kepada Ming. Di Taipei Film House, kami menonton filem A City of Sadness. Ming belikan saya VCD filem Time to Live, Time to Die. Untuk Indra, katanya.

Krismas tahun 2022, Su kemas kini keadaan suaminya di Facebook—dia tidak dapat bertutur dengan baik, tangan kiri Indra disfungsi. Tubuhnya lemah. Keadaannya tidak stabil.

Selesai urusan di fakulti, saya balik ke rumah dan berkurung di dalam bilik. Seperti ada beban tak tertanggung sedang dipikul. Saya berbaring merenung tingkap yang dipenuhi rona senja—ia semakin mengelap. Kata-kata Indra berdengung berulang ulang;

“Telinga aku semakin tuli, mata aku semakin silau.”

Saya menangis sehingga tertidur.

***

Lapangan terbang KLIA yang basah. Sampai di sini disambut hujan yang lebat. O hujan, sedih apa yang sedang kau turunkan?

 

 

 

 

 

 

 


Pengarang :