Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Peneroka Felda di MAEPS Serdang pada 7 Julai 2023. Foto AFIQ HAMBALI/PEJABAT PERDANA MENTERI
AGENDANASIONAL

Kerajaan PN umum mansuh hutang peneroka Felda tanpa beri kelulusan

SERDANG, 7 JULAI: Pengumuman mengenai pemansuhan 80 peratus hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang dibuat kerajaan terdahulu tidak disertai sebarang kelulusan.

Mendedahkan demikian, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya membuat pengumuman pelupusan hutang berjumlah RM8.3 bilion tersebut.

“Mereka (kerajaan PN) berdegar-degar mereka berbicara hendak jaga orang Melayu dan Islam tetapi hutang pun tidak dilupus hingga Kerajaan Perpaduan ambil alih.

“Ya memang (kerajaan PN) umumkan, saya tengok fail, kenal pasti berapa jumlah hutang iaitu sebanyak RM8.3 bilion tetapi kelulusan tiada walaupun sudah umum.

“Selama 33 bulan kamu (kerajaan PN) buat apa? Kenapa tidak selesaikan masalah hutang Felda, kami di pentas ini yang tolong selesaikan walaupun baru tujuh bulan (perintah),” katanya.

Pendedahan berkenaan dibuat ketika beliau berucap dalam sambutan Hari Peneroka Felda di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini hari ini.

Anwar yang juga menteri kewangan menegaskan sebarang usaha bagi memulihkan semula Felda perlu bermula dari peringkat atasan sebelum sebarang keputusan dihebah kepada masyarakat peneroka.

“Ia (hutang) bukan berjumlah kecil, sebab itu dia (kerajaan dahulu), main umum sahaja. Ke mana disalur?

“Beban hutang peneroka meningkat, ada kelemahan lain seperti dasar, keputusan politik dan pengurusan. Jadi kalau hendak betulkan Felda, perlu bermula dari peringkat atasan,” katanya.


Pengarang :