Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Mega Madani dan pelancaran Jentera Perpaduan di Laman Niaga Bandar Baru Bangi, Bangi, Hulu Langat pada 7 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pembangkang guna politik untuk tenggelamkan pencapaian cemerlang di Selangor

SHAH ALAM, 8 JULAI: Pelbagai serangan berbaur sentimen politik dimainkan pembangkang antara usaha bagi menenggelamkan kejayaan pentadbiran Selangor di mata rakyat.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri Dato’ Seri Amirudin Shari berkata banyak tohmahan tidak berasas dibuat bagi menutup pencapaian cemerlang pentadbiran negeri selama 15 tahun.

“Mereka akan gunakan pelbagai serangan. (Mereka) menutup mata dan cuba membisukan kita daripada pencapaian kita selama 15 tahun di Selangor.

“Orang-orang ini sedang sakit hati, tidak boleh tengok keadaan aman, tidak boleh tengok keadaan stabil, bukan sedikit serangan cuba dibuat,” katanya yang juga Dato’ Menteri Besar.

Beliau berucap dalam program pelancaran Jentera Perpaduan Selangor yang disempurnakan Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bandar Baru Bangi di sini malam tadi.

Menjelang pilihan raya negeri, pelbagai serangan dilaungkan pemimpin pembangkang yang mengecam pentadbiran Selangor tanpa bersandarkan fakta, sesetengah berunsur fitnah.

Amirudin berkata Selangor menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022 sekali gus mematahkan dakwaan pembangkang kononnya prestasi negeri ini merosot.

“Saya pun tidak faham dulu dia (Pengerusi Perikatan Nasional Selangor Dato’ Mohamed Azmin Ali) kata kita paling maju (tapi) sumbang 23, 24 peratus KDNK (sahaja).

“Jabatan Perangkaan Malaysia dedah baru-baru ini Selangor (bawah pentadbiran Amirudin) sumbang 25.5 peratus KDNK.

“Sebab itu, mereka (pembangkang) rasa penting untuk rampas Selangor, sebab tahu negeri ini maju dan membangun,” kata beliau lagi.

Selangor mencatat pertumbuhan tertinggi dan sumbangan terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sejak HARAPAN mentadbir negeri mulai 2008.

Sumbangan KDNK tahun lalu iaitu 25.5 peratus melebihi satu perempat ekonomi Malaysia manakala nilai pertumbuhan pula 11.9 peratus, bertambah 3.2 peratus berbanding 8.7 kadar nasional.


Pengarang :