Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut ribuan pelajar pada program Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok pada 8 Julai 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

PM jamin kuota Melayu di IPT kekal, pastikan keseimbangan kaum

SINTOK, 8 JULAI: Sistem kuota Melayu dan Bumiputera dalam pendidikan perlu dikekalkan bagi mengimbangi jumlah pelajar kaum itu di institusi pengajian tinggi (IPT).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jika sistem itu tidak dikekalkan ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan atau ‘tempang’ jumlah pelajar Melayu di IPT termasuk dalam jurusan tertentu.

“Beberapa prinsip dalam Perlembagaan negara tentang jaminan, peluang supaya anak-anak Melayu dan Bumiputera itu diberikan tempat yang mampu bersaing, ini kita kekalkan.

“Kalau tidak… kita akan lihat kesenjangan berlaku, seperti yang berlaku di Universiti Malaya pada 1970-an, 1960-an. Fakulti Kejuruteraan – anak Melayu zero, kalau masuk koyak, fakulti perubatan 12 peratus.

“Jadi ada usaha oleh Allahyarham Ungku Aziz (Profesor Diraja) dan kementerian berkaitan pada masa itu untuk membantu anak-anak Melayu supaya boleh bersaing,” katanya ketika menjawab soalan penuntut berkenaan sistem kuota dan meritokrasi dalam sistem pendidikan negara ketika ini dalam program Temu Anwar Kedah di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata walaupun sistem itu dikekalkan, ia tidak bermakna sistem meritokrasi dimatikan, dan jika ada pelajar dari kalangan anak-anak bukan Melayu dan Bumiputera yang cemerlang, kerajaan perlu mencari kaedah untuk memberikan mereka peluang dan tidak disisihkan.

“Program kuota ini saya setuju kekalkan, tetapi kita kena cari jalur lain untuk memberi ruang kepada anak-anak bukan Melayu, bukan Bumiputera yang pintar, yang keputusannya baik supaya jangan nampak tersisih,” katanya.

Anwar menegaskan sekiranya kerajaan mengambil tindakan mengetepikan dasar kuota itu, ia akan menimbulkan ketegangan dan akan dijadikan sebagai isu dalam politik oleh pihak tertentu.

Menurut Perdana Menteri lagi, beliau telah menyampaikan arahan kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek agar sistem itu dikekalkan, dan dalam masa sama membuka ruang dan peluang kepada pelajar yang mendapat keputusan yang baik agar mereka dibantu untuk melanjutkan pengajian.

Sementara itu Anwar berkata Malaysia merupakan antara negara yang terbaik layanannya kepada kumpulan minoriti, walaupun mengakui ada perkara yang boleh diperbaiki dalam soal itu.

“Ada negara lain yang minoriti umat Islam langsung tidak mendapat tempat, tapi jangan itu kita jadikan sebagai contoh, kalau itu dijadikan contoh kita pun lembab macam dia, lemah macam dia, zalim macam dia,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :