Petugas membuat persiapan menyusun barangan keperluan asas dalam Program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Selayang di Puteri Central Park, Tasik Puteri pada 8 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pengunjung saran tambah lebih banyak barangan asas di jualan murah

Oleh AMIRUL FAZLI

KUANG, 8 JULAI: Pengunjung berharap barangan asas di program Jualan Ehsan Rahmah  (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) ditambah pada masa depan.

Suri rumah, Rosliza Kamaluddin, 47, berkata barangan yang dijual di JER murah dan berharap beberapa lagi barangan keperluan harian ditambah.

Rosliza Kamaluddin, 47 ketika ditemui selepas membeli barangan keperluan asas di Program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Selayang di Puteri Central Park, Tasik Puteri pada 8 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Saya berharap ada pertambahan barangan lain seperti susu, gula dan sayur agar kita boleh terus beli di sini.

“Saya sudah hadir ke jualan ini (JER) sembilan kali kerana ia dapat membantu kewangan kami sekeluarga,” katanya yang mempunyai enam anak.

Beliau ditemui dalam program Program JER Parlimen Selayang di Puteri Central Park, Tasik Puteri hari ini.

Bagi Nalatamby, 59, beliau turut bersetuju jika beberapa barangan asas lain ditambah agar mereka dapat membeli di tempat sama.

Nalatamby, 59, ketika ditemui dalam Program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Selayang di Puteri Central Park, Tasik Puteri pada 8 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Saya setuju jika ada beberapa barang seperti gula dan susu ditambah agar orang ramai dapat beli pada harga murah,” katanya yang hadir ke JER lebih lima kali.

Sementara itu, Haida Nabila 22, turut bersetuju jika barangan asas lain ditambah kerana ia boleh menjimatkan masa pengunjung.

“Jika makin banyak barang asas dijual, orang ramai tidak perlu lagi ke tempat lain dan ini menjimatkan masa serta tenaga terutama mereka yang berusia.

Haida Nabila, 22, ditemui sempena Program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Selayang di Puteri Central Park, Tasik Puteri pada 8 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Saya juga berharap diwujudkan sistem bayaran tanpa tunai (QR) bagi memudahkan orang ramai terutama golongan muda seperti saya,” katanya.

Suri rumah, Jenny Yap, 61, memuji inisiatif Kerajaan Negeri yang banyak membantu pelbagai golongan.

“Harga barang di sini (JER) murah seperti ayam, telur dan minyak masak jika dibandingkan dengan harga di luar,” katanya.

Jenny Yap, 61, ditemui dalam Program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Selayang di Puteri Central Park, Tasik Puteri pada 8 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Orang ramai boleh menyemak lokasi terkini JER seluruh negeri, setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR Jadual JER pada imej infografik PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :