Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada program Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 8 Julai 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

PM tandatangani lupus hutang peneroka Felda Jun, apa yang Muhyiddin selesaikan?

ALOR SETAR, 8 JULAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal kenyataan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menuduh beliau berbohong mengenai pelupusan hutang peneroka Felda.

Katanya sebagai Menteri Kewangan, beliau baru sahaja menandatangani kelulusan pelupusan hutang itu pada akhir bulan lalu.

“Hari ini mantan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) membuat kenyataan Perdana Menteri berbohong kerana perkara ini (hutang) telah selesai sejak 2021.

“Sekarang kamu kata dah selesai, saya baru tandatangan akhir Jun, Menteri Kewangan tandatangan kelulusan ini. Jadi kamu dah selesai 2021 bagaimana, selesai di mana?” katanya pada Program Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata memang terdapat persetujuan oleh kerajaan terdahulu untuk melupuskan hutang berkenaan, namun ia tidak dilaksanakan.

“Belanjawan 2021 bawah Perikatan Nasional dan 2022 bawah Perikatan Nasional tidak ada peruntukan untuk menyelesai dan melupuskan hutang Felda. Saya kekal dengan rekod ini. Hanya dalam Belanjawan Madani 2023 saya mula serahkan RM990 juta peruntukan awal untuk melupuskan hutang Felda yang jumlahnya RM8.3 bilion,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :