Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh (lima, kiri) pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas berkaitan tarikh-tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam negeri di Menara SPR Putrajaya pada 5 Julai 2023. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

PRN Selangor bermula 29 Julai, tempoh kempen 14 hari

OLEH SITI ROHAIZAH ZAINAL

SHAH ALAM, 5 JULAI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari mengundi bagi pilihan raya negeri (PRN) di Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan.

Hari penamaan calon bagi keenam-enam negeri pula ditetapkan pada 29 Julai, sementara pengundian awal pada 8 Ogos dengan tempoh berkempen selama dua minggu.

Perkara tersebut diumumkan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media yang disiar secara langsung dari ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR bagi mengumumkan tarikh penamaan calon dan mengundi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah di Putrajaya pada 5 Julai 2023. Foto BERNAMA

“SPR telah menerima notis pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan daripada Speaker Dewan masing-masing.

“Sehubungan itu, SPR mengadakan mesyuarat khas hari ini dan memutuskan satu PRU DUN Ke-15 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi dewan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Ghani memaklumkan urusan undi pos luar negara ditutup pada 8 Julai, petugas pilihan raya, pegawai SPR, polis, tentera dan media (26 Julai), sementara agensi atau organisasi (11 Julai).

Kelantan terlebih dahulu membubarkan DUN pada 22 Jun, diikuti Selangor 23 Jun manakala Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu masing-masing pada 28 Jun dan Negeri Sembilan pada 1 Julai.

DUN Kedah membabitkan 36 kerusi, Kelantan (45 kerusi), Terengganu (32 kerusi), Pulau Pinang (40 kerusi), Selangor (56 kerusi) dan Negeri Sembilan (36 kerusi).

 

 


Pengarang :