Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee dibantu pramugari bagi mendapatkan kit bantuan kecemasan pesawat MAS untuk menstabilkan seorang penumpang wanita yang sesak nafas akibat asma ketika dalam penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur pada 6 September 2023. Foto Facebook Dr Annuar Rapaee
AGENDANASIONAL

Dr Annuar stabilkan penumpang wanita sesak nafas akibat asma dalam penerbangan

SIBU, 6 SEPT: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee berjaya menstabilkan seorang penumpang wanita yang sesak nafas akibat asma ketika dalam penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur hari ini.

Dr Annuar yang juga pakar kardiologi dalam hantaran menerusi Facebook berkata kejadian berlaku ketika pramugari membuat pengumuman meminta doktor atau kakitangan perubatan yang berada dalam penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH2521 itu, supaya tampil kerana mereka memerlukan rawatan perubatan segera.

“Pramugari bertanyakan sama ada saya doktor perubatan atau PhD (doktor falsafah) dan meminta kad identiti untuk mengesahkan jawatan saya, namun doktor perubatan tidak mempunyai kad identiti, lalu saya memberikan kad kredit yang tertera nama Dr Annuar Rapaee,” katanya.

Beliau berkata selepas itu, beliau merawat pesakit berkenaan yang memerlukan inhaler (alat sedut) atau nebuliser (penebula) dan beliau bernasib baik kerana ada seorang penumpang yang membawa inhaler.

“Selepas beberapa kali puff (sedutan), pesakit masih sesak nafas dan alhamdulillah kit kecemasan pesawat MAS lengkap dengan nebuliser. Selepas nebuliser, pesakit itu tiada sesak nafas lagi dan merasa lega,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu.

Dr Annuar berkata setelah semuanya selesai, beliau perlu membuat laporan perubatan sebanyak empat salinan dan bersyukur penumpang wanita itu selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Sementara itu, ruangan komen dalam hantaran itu dipenuhi dengan pujian daripada netizen.

– BERNAMA


Pengarang :