AGENDAJENAYAH

Lelaki OKU rentung dalam kebakaran rumah

GEORGE TOWN, 18 SEPT: Lelaki warga emas orang kurang upaya (OKU) ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Jalan Kampung Pisang, Air Itam, dekat sini hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata identiti mangsa berusia 60-an yang ditemukan di dalam bilik satu daripada rumah yang terbakar itu, masih belum dikenal pasti.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.44 pagi dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong terus ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, bomba mendapati dua rumah kampung yang terletak bersebelahan terbakar dan api ketika itu sedang marak sebelum kami bertindak menjalankan kerja pemadaman,” katanya di sini hari ini.

Katanya, kebakaran itu memusnahkan dua rumah setingkat yang setiap satu berkeluasan kira-kira 1,250 kaki persegi.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Menurut jurucakap itu, kebakaran dikawal sepenuhnya pada 4.28 pagi dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

– BERNAMA


Pengarang :