BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Hilang ditelan masa, jejak tinggalan 110 tahun rel Klang-Kuala Selangor

Foto MOHD YUSNI ARIFFIN

Dalam tempoh lima tahun ini, Kerajaan Selangor merancang membina jajaran kereta api dari Klang ke Kuala Selangor kepada kerajaan persekutuan.

Rancangan itu bertujuan memendekkan perjalanan ke bahagian utara negeri berbanding laluan jalan raya ketika ini.

Pada masa sama, ia menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Rencana berkenaan dijangka memberi limpahan ekonomi di sekitar kawasan pantai barat Selangor.

Bagaimanapun, laluan kereta api antara Klang ke Kuala Selangor sebenarnya sudah wujud sejak 110 tahun lalu.

Pada Februari 1913, pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah membina laluan di kawasan sama bagi mengangkut komoditi kopi dan getah selain penduduk setempat pada waktu itu.

Usaha awal membina rel ke utara Selangor dirintis Gabenor Negeri-negeri Selat Sir Frederick Weld pada 1886. Ketika itu, beliau memperinci pembinaan laluan kereta api dari Klang ke pekan Jeram.

Namun, pembinaan tidak segera dilakukan kerana tiada kepentingan mengangkut bahan komoditi di sepanjang laluan Klang menghala ke Kuala Selangor.

British lebih berminat membina rel kereta api di kawasan mempunyai pengeluaran bahan komoditi, khususnya Kuala Lumpur pada waktu itu yang mempunyai kepentingan membawa hasil bijih timah.

Pada 1908, akhbar Malay Mail melaporkan penduduk kawasan pantai barat Selangor mula merungut. Pengangkutan utama bas dari Klang ke Kuala Selangor amat terhad meski tambangnya murah.

Akhirnya British akur dan membina jalan kereta api antara Klang ke Kuala Selangor bermula Januari 1911. Binaan itu siap pada 1913. Bagaimanapun selepas 18 tahun berjasa, kereta api itu digantung perkhidmatannya pada November 1931.

Laluan tinggal

Dua tahun kemudian, The Federated Malay States Railways (FMSR) memajak laluan berkenaan kepada Jabatan Kerja Raya. Alasannya, laluan rel berkenaan tidak lagi mampu bersaing dengan kewujudan jalan raya yang semakin baik.

Pada tahun sama, pengarang sebuah akhbar mengemukakan komentar mengenai perkara berkenaan. Laluan kereta api Klang-Kuala Selangor tidak mendapat sambutan kerana FMSR gagal menyambung konkrit rel ke pelabuhan Kuala Selangor.

Ia mendatangkan kesukaran kepada pedagang menyebabkan mereka lebih gemar menggunakan jalan raya untuk menghantar komoditi. Perlahan-lahan kereta api Klang-Kuala Selangor yang pernah menjadi perkhidmatan pengangkutan utama dilupakan.

Seorang peminat sejarah kereta api Meor Amran menjejak laluan bersejarah itu dengan bantuan dron. Hasil rakaman dan tinjauan dimuatkan dalam saluran miliknya Jenut TN di YouTube.

“Saya tidak bersendirian, ada beberapa lagi penulis blog lain yang turut sama cuba membongkar laluan kereta api ini. Antaranya Zkeretapi, Aku Budak Telok dan Riding Tales.

“Laluan kereta api Klang ke Kuala Selangor itu bermula dari Stesen Jambatan Connaught, Klang dan kemudiannya melalui 17 hentian sehingga ke Stesen Kuala Selangor,” katanya.

Videonya Menjejak Sejarah Pembinaan, Tapak Stesen dan Penutupan Laluan Keretapi Klang – Kuala Selangor dalam dua siri itu dimuatkan dua tahun lalu.

Dalam video tersebut dia menunjukkan kesan laluan kereta api, termasuk beberapa binaan dan peta Google terkini, sepanjang kira-kira 40 kilometer. Video itu menunjukkan rekod stesen antaranya Klang Utara, Sungai Putus, Parit Chabang, Vallambrosa, Sungai Perepat, Kapar Ilir, Kapar, Jalan Acob dan Suara.

Meor berkata, masih ada sisa tinggalan sejarah, antaranya cerucuk Jambatan George Dearie Rusell di Sungai Puloh, Klang. Juga bongkah batu dipercayai sisa daripada bangunan pondok pengawal kereta api di hadapan Sekolah Kebangsaan Jeram.

Satu lagi tinggalan ialah Jambatan Besi Pasir Tuntung. Dibina lebih 100 tahun lalu, jambatan itu terbiar sehingga sudah tidak boleh digunakan kenderaan berat.

“Saya berharap dengan pendedahan dilakukan pengkaji-pengkaji sejarah ini diketahui pihak bertanggungjawab. Sebaiknya tinggalan sejarah ini perlu dijaga. Saya berharap supaya pihak berkuasa tempatan ataupun pelancongan boleh letak papan tanda.

“Pada masa sama, lebih ramai tahu tentang kewujudannya, sekali gus ada anak-anak bangsa menghargai tinggalan sejarah di Selangor ini,” katanya lagi.

 


Pengarang :