Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika menjawab pertanyaan media selepas melakukan lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan Keledang Jaya, Nibong Tebal pada 13 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tingkat SOP selenggara kemudahan sukan, elak kemalangan di sekolah

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Prosedur operasi standard (SOP) penyelenggaraan terhadap kemudahan sukan di sekolah akan ditingkatkan bagi memastikan kawasan sekolah adalah sifar kemalangan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) juga akan memastikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah serta pihak sekolah memantau seluruh infrastruktur sukan dan padang sekolah berada dalam keadaan selamat untuk kegunaan para pelajar.

“Pihak pentadbir sekolah hendaklah sentiasa mengingatkan para pelajar untuk sentiasa waspada ketika melakukan aktiviti di luar kelas,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook beliau hari ini.

Dalam masa sama, Fadhlina mengucapkan takziah kepada keluarga seorang murid berusia 11 tahun yang meninggal dunia selepas ditimpa besi palang gol ketika aktiviti kokurikulum bersama-sama rakan sekelasnya di Sekolah Kebangsaan St. Anthony, di Bintulu, Sarawak, semalam.

“Saya memberi jaminan, KPM menerusi JPN akan menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa,” katanya.

Fadhlina turut berkata KPM akan memberikan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia bagi membantu siasatan berkaitan insiden itu.

– BERNAMA


Pengarang :