Atlet olahraga Shereen Samson Vallabouy menjuarai acara 400 meter pada Kejohanan Trek dan Padang Divisyen II Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Pueblo, Colorado pada 28 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Shereen raih gangsa, tamatkan penantian 17 tahun buru pingat olahraga Sukan Asia

HANGZHOU, 30 SEPT: Ratu trek negara Shereen Samson Vallabouy berjaya menamatkan penantian 17 tahun Malaysia untuk meraih sebutir pingat dalam acara olahraga di Sukan Asia, selepas merangkul gangsa acara 400m wanita pada malam ini.

Atlet berusia 25 tahun itu, mencatatkan 52.58s di Stadium Olimpik Hangzhou di sini, sedikit perlahan berbanding rekod kebangsaan miliknya 51.80s.

Seperti dijangka, pelari Bahrain menamatkan saingan di kedudukan dua teratas, apabila Adekoya Oluwakemi Mujidat meraih emas dengan larian 50.66s, manakala Salwa Eid Naser (50.92s) membawa pulang perak.

Shereen, atlet berpangkalan di Amerika Syarikat itu, mara ke final selepas memenangi saringan ketiga pusingan pertama dengan catatan 52.89s.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat di temasya Sukan Asia adalah pada edisi 2006 di Doha, Qatar apabila Roslinda Samsu dan Noraseela Mohd Khalid masing-masing meraih perak dalam acara lompat bergalah dan gangsa dalam 400m lari berpagar wanita.

Pemenang pingat emas terakhir Malaysia di Sukan Asia adalah Datuk Rabuan Pit yang muncul juara 100m lelaki pada edisi 1982 di New Delhi, India.

Kejayaan hari ini juga, menyaksikan Shereen mengulangi pencapaianya ibunya, S. Josephine Mary sebagai pemenang pingat di Sukan Asia, yang pernah meraih gangsa acara 800m edisi 1986 di Seoul, Korea Selatan dan 4x400m edisi 1990 di Beijing, China.

Bercakap kepada pemberita selepas acaranya, Shereen gembira berjaya mencapai sasaranya untuk membuat penampilan sulung Sukan Asia yang cemerlang dengan meraih pingat.

“Ia amat bermakna. Rasa menakjubkan untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai tahap ini dan memenangi sebutir pingat untuk Malaysia. Ibu dan bapa (Samson Vallabouy) saya adalah atlet negara, rasa mengagumkan untuk mengikuti jejak langkah mereka dan membuatkan mereka bangga.

Setiap orang adalah kuat di padang…bagi saya, saya mahu mengikuti cara saya kerana setiap seorang mempunyai kaedah larian berbeza dalam 400m dan itu benar-benar membantu saya menumpukan kepada lorong saya dan bagaimana saya akan berlari dalam perlumbaan.

Saya fikir saya mempunyai permulaan yang bagus, saya melakukannya dengan baik dan mampu mengekalkannya dalam lorong tepi. Dua gadis Bahrain itu memang benar-benar kuat saya menggunakan mereka sebagai panduan kelajuan dan mengejar mereka dan ia benar-benar membantu saya,” katanya.

Seterusnya Shereen mungkin beraksi dalam acara 4x100m wanita apabila namanya tersenarai antara enam pelari.

Beliau akan menamatkan musim pertandingan 2023 selepas Sukan Asia untuk meluangkan masa bersama keluarganya di Ipoh, Perak sempena cuti enam minggu, sebelum memulakan persiapan untuk memburu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

– BERNAMA


Pengarang :