Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

1,871 individu ditahan terlibat judi dalam talian, loteri awam

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Seramai 1,871 individu ditahan dalam Op Dadu Khas bertujuan membanteras judi dalam talian dan loteri awam tanpa lesen yang dijalankan di seluruh negara dari 22 September hingga 5 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata dalam tempoh sama, 1,785 serbuan dijalankan di seluruh negara bagi mengekang aktiviti jenayah itu.

“Dalam operasi selama dua minggu yang melibatkan operasi judi dalam talian, polis merampas wang tunai, kelengkapan komputer dan telefon bimbit bernilai RM513,025 manakala bagi loteri awam tanpa lesen bernilai RM679,816,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata 1,559 lelaki dan 312 wanita berusia antara 20 hingga 60 tahun ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 9(1) akta sama.

“Sehingga 5 Oktober lalu 382 kertas siasatan melibatkan judi dalam talian dan loteri awam tanpa lesen berjaya diselesaikan dan dituduh di mahkamah, manakala 1,362 kertas siasatan masih dalam siasatan sementara 43 kertas siasatan dikategorikan tiada tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, mengenai rakyat Malaysia yang diselamatkan polis Peru di Lima, Mohd Shuhaily berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Wisma Putra untuk mengenal pasti individu terlibat.

“Setakat ini kami (polis) masih belum tahu apa tindakan seterusnya pihak berkuasa di Peru dan Wisma Putra sedang berusaha untuk membawa mereka pulang seberapa segera,” katanya.

Sabtu lepas, Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan 43 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penyeludupan manusia sindiket Macau Scam telah diselamatkan hasil serbuan polis Peru di sebuah rumah di La Molina, Lima.

– BERNAMA


Pengarang :