Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop (kiri) bersama Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor (dua, kiri) bertemu dengan waris penerima pampasan kematian Eeliani Noordin (kanan) ketika hadir bagi menyampaikan Skim Insurans Am Selangor (INSAN) turut hadir Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Profesor Madya Dr Badrul Isa dan Ketua Pengajian Seni Persembahan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Norzizi Zulkifli di Batu Arang, Rawang pada 3 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Ibu hasrat guna tuntutan insurans negeri laksana badal haji

GOMBAK, 4 OKT: Ibu kepada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana yang maut akibat kemalangan motosikal berhasrat melaksanakan badal haji untuk arwah menggunakan pampasan Skim Insurans Am Selangor (INSAN).

Eeliani Noordin, 48, berkata anak keduanya, Muhammad Hassif Yaakob, 21, pernah menyuarakan untuk menunaikan umrah bersama-sama tahun depan selepas anak bongsunya tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya baru kehilangan suami akibat barah September tahun lalu dan anak-anak pernah berbincang untuk mengerjakan umrah, tetapi tidak berkesempatan.

Eeliani Noordin

“Apabila menerima pampasan ini, saya mahu buat badal haji untuk arwah. Ini rezeki dia untuk saya panjangkan hasratnya, itu sahaja yang mampu dibuat,” katanya ditemui di kediamannya di Batu Arang semalam.

Terdahulu, Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Saipolyazan M Yusop menyerahkan pampasan Skim Takaful INSAN berjumlah RM11,000.

Eeliani yang juga seorang guru menjelaskan beliau tidak mengetahui Muhammad Hassif layak menerima pampasan berikutan segala urusan diselesaikan anak sulungnya.

“MBI menguruskan segala urusan kepada anak sulung dan saya tidak tahu langsung. Saya terharu kerana ada bantuan seperti ini diwujudkan Kerajaan Negeri yang banyak membantu.

“Saya bersyukur dan terima kasih kepada Kerajaan Selangor memperkenalkan Skim INSAN kerana saya dapat panjangkan badal haji untuk arwah anak,” katanya.

Pada 9 Ogos lalu, Muhammad Hassif meninggal dunia di tempat kejadian apabila motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima kira-kira jam 5.50 petang.


Pengarang :